AM > BERITA

DSA: DRON ‘KAMIKAZE’ BUATAN MALAYSIA BAKAL DIKOMERSIALKAN

08/05/2024 01:15 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Dron amunisi musnah sendiri atau 'kamikaze' buatan Malaysia pertama, ciptaan yang dirintis oleh syarikat tempatan Mindmatics bakal dikomersialkan tidak lama lagi.

Dinamakan sebagai 'Todak', dron inovatif itu mengambil masa setahun untuk dibangunkan dan kini masih dalam proses kajian dan pembangunan lebih lanjut yang dijangka selesai enam bulan lagi.

Memperkenalkan senjata itu pada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini, Pengurus Projek Azman Ahmad berkata dron tersebut berfungsi untuk menyerang dengan tepat bagi memusnahkan sasaran yang dikehendaki.

"Sebelum ini kami telah membangunkan dron pemantauan tetapi kali ini kami maju selangkah lagi dengan dron kamikaze untuk objektif dan tujuan khusus. 

"Terdapat beberapa agensi yang menunjukkan minat dengan produk ini dan kami melihat ada potensi pasaran dalam kalangan agensi penguatkuasaan tempatan dan wilayah," katanya kepada Bernama di reruai Mindmatics pada pameran tersebut yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) di sini.

Direka bentuk sebagai amunisi risikan dalam industri pertahanan, dron tersebut dilengkapi dengan algoritma kawalan Kecerdasan Buatan (AI) berserta Unit Kawalan Api (FCU) bersaiz kecil.

Menurut Azman, dron itu dikuasakan dengan bateri litium-besi pepejal 25.5 Voltan dengan masa operasi hingga 40 minit serta berkeupayaan untuk terbang dan menyerang sasaran pegun atau bergerak tanpa memerlukan input pemantauan.

"Todak berukuran dua meter (m) panjang dengan kelebaran sayap 1.35 meter dan berat pelepasan maksimum 12 kilogram (kg). Ia mampu membawa beban seberat 3 kg dan mencapai kelajuan 100 kilometer sejam dengan kaedah pelancaran menggunakan lastik (catapult)," katanya.

Mindmatics yang berpusat di Kajang, Selangor, mempunyai lebih 20 tahun pengalaman, mengkhususkan pada menyediakan penyelesaian komprehensif dalam teknologi maklumat, pengkomputeran dan elektronik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan