AM > BERITA

MAJLIS ULAMA ASIA 2024 KETENGAHKAN AGENDA PERPADUAN UMAT ISLAM

08/05/2024 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Isu perpaduan dalam kalangan umat Islam menjadi tajuk utama diketengahkan dalam persidangan Majlis Ulama Asia 2024 di sini, dengan para ulama menyentuh masalah-masalah dihadapi umat Islam hari ini yang berpunca daripada kegagalan menguruskan agenda perpaduan dengan baik.

Mufti Pahang Prof Datuk Dr Asmadi Mohd Naim berkata cabaran semasa yang dihadapi dunia Islam menuntut perpaduan dalam kalangan umat Islam untuk menghadapi isu yang mengancam maruah agama, seperti konflik Palestin, keganasan, kebimbangan ekonomi dan gerakan geopolitik negara kuasa besar.

Beliau menyarankan agar formula dakwah ulama silam yang menyebarkan Islam di Asia Tenggara digunakan semula sebagai salah satu kaedah mengurus perpaduan Islam, kerana formula itu telah terbukti berjaya sebelum ini.

“Islam berkembang pesat di Kepulauan Melayu atau Asia Tenggara dengan jayanya tanpa pertumpahan darah, menjadi kebanggaan ulama kita apabila berdialog dengan pelbagai pihak, sebagai bukti pertumbuhan pesat Islam tanpa keganasan,” katanya.

Bagaimanapun katanya sebarang formula yang akan digunakan perlu mengambil kira dua perspektif iaitu cabaran dalaman dan luaran yang dihadapi ummah.

Dari sudut dalaman Asmadi berkata cabarannya ialah menguruskan pertikaian yang timbul dalam kalangan ulama, pemimpin dan masyarakat yang memerlukan pemerhatian peringkat mikro kerana setiap negara mempunyai konteks dan tradisi yang berbeza.

“Masyarakat Islam tidak boleh terus-menerus dibelenggu dengan perpecahan dalaman, khususnya dalam aspek mazhab, dan pada masa yang sama menghadapi cabaran lebih berat mengikut maqasid syariah,” katanya.

Beliau berkata di satu sudut pula umat Islam juga harus bertindak balas dengan sewajarnya terhadap cabaran-cabaran luar seperti pengaruh budaya, ekonomi, politik dan geografi.

Asmadi berkata ketika ini negara Islam adalah pengeluar minyak terbesar, dan menjadi tuan rumah yang berfungsi sebagai hab pelaburan ekonomi antarabangsa, di samping memiliki pelbagai keupayaan luar biasa lain, namun semua pencapaian ini tidak bermakna tanpa perpaduan untuk mensinergikan kekuatan mereka dalam menghadapi ancaman penindasan terhadap negara-negara Islam.

Tokoh ulama dari India Syed Salman Chishty turut menekankan kepentingan menerima kepelbagaian serta perpaduan seperti yang dibayangkan oleh Al-Quran, di samping memperakui peranan pemimpin spiritual dan ulama dalam membentuk naratif Islam, khususnya ketika menghadapi konflik dan Islamofobia.

“Kitab suci Al-Quran mengingatkan kita bahawa perbezaan dalam kalangan kita bukan bertujuan untuk memecahbelahkan kita, tetapi untuk memperkayakan kita, untuk menjadi bukti kreativiti tanpa batas pencipta kita Allah S.W.T,” katanya.

Syed Salman menyeru ummah untuk menuntut kembali nilai Islam yang sebenar dan mengamalkan prinsip ihsan, keadilan, dan empati yang abadi.

Beliau juga menggesa para perwakilan untuk berusaha membina jambatan persefahaman dan kerjasama dengan semua agama dan ideologi menerusi dialog, pendidikan dan saling menghormati.

Persidangan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan dihadiri Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam Sheikh Dr Mohammad Abdulkarim Al-Issa.

Ia dianjurkan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Liga Dunia Muslim (MWL).

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan