AM > BERITA

MASYARAKAT PERLU BANGKIT, BERI TEKANAN KEPADA ISRAEL - NURUL IZZAH

08/05/2024 04:29 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Semua lapisan masyarakat harus bangkit dan memberi tekanan kepada Israel serta sekutunya untuk berhenti melakukan perkara yang menambah kesengsaraan kepada warga Gaza, khususnya mereka yang sedang berlindung di Rafah.

Penasihat Malaysian Humanitarian Aid And Relief (Mahar) Nurul Izzah Anwar berkata Rafah antara kawasan terakhir yang belum dimusnahkan dan kini menjadi tempat perlindungan kepada lebih satu setengah juta warga Gaza.

Menurut beliau, Israel selama ini menggunakan taktik kotor dengan menjadikan Rafah dan semua warga Palestin di sana sebagai tebusan untuk memaksa Hamas bersetuju dengan syarat mereka dalam proses gencatan senjata.

"Setelah beberapa pusingan rundingan dan cadangan gencatan senjata, Hamas telah memberi gambaran menerima draf gencatan senjata yang dicadangkan oleh Qatar dan Mesir.

"Namun demikian pada pagi ini, dunia sekali lagi dikejutkan dengan gambaran sebenar perangai Israel yang telah menghantar kereta kebal mereka di Kompleks Imigresen Rafah," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nurul Izzah berkata tentera Israel telah menguasai Kompleks Imigresen Rafah yang menjadi pintu masuk dan keluar dari Gaza serta Mesir selain turut bertindak biadap dengan menurunkan bendera Palestin dan menaikkan bendera Israel di kompleks itu.

Beliau berkata tindakan itu menyebabkan pergerakan sukarelawan dan barangan bantuan dihentikan melalui pintu Rafah.

Selain itu, Nurul Izzah berkata terdapat laporan media Ibrani yang menunjukkan kereta kebal tentera Israel sedang beroperasi di Koridor Philidelphi yang jelas menandakan rejim berkenaan telah mencabuli Perjanjian Philidelpi 2005 yang bersetuju kawasan itu menjadi kawasan bebas tentera.

"Apa yang merisaukan kita ialah Israel ingin meneruskan pembunuhan dan kemusnahan walaupun cadangan gencatan senjata telah diterima semata-mata untuk memenuhi kehendak jahat Netanyahu (Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu).

"Pencabulan berkali-kali dalam hak asasi manusia oleh rejim Israel di Gaza ini jelas menunjukkan keangkuhan mereka seolah-olah mereka kebal daripada segala perundangan antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan