AM > BERITA

PAHANG PANTAU AJARAN SESAT 'AHMADI AGAMA KEAMANAN DAN CAHAYA'

08/05/2024 09:32 PM

KUANTAN, 8 Mei (Bernama) -- Kerajaan Pahang menerusi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bekerjasama dengan jabatan agama Islam seluruh negara serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memantau ajaran ‘The Ahmadi Religion Peace and Light' atau 'Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya' yang tular di media sosial baru-baru ini. 

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata hasil pemantauan itu akan dibentangkan dalam Jawatankuasa Syariah bagi tindakan selanjutnya. 

Beliau berkata fahaman ajaran itu dipercayai diketuai seorang individu mengaku dirinya sebagai Imam al-Mahdi dengan menggunakan gelaran Abdullah Hashem Aba al-Sadiq, manakala pendeta mereka di Malaysia  dan Indonesia bernama Kashfullah Amaluddin.

“Ajaran ini menyeru orang ramai turut menjadi pengikut Imam al-Mahdi dan pemimpin Imam Mahdi yang didakwa muncul masa kini, mereka mempercayai penjelmaan semula, juga mempercayai utusan Tuhan itu terdiri daripada pelbagai manusia yang hebat daripada pelbagai agama seperti Nabi Ibrahim, Krishna, Zoroaster, Buddha, Zeus, Moses, Aristotle, Socrates, Pythagoras, Plato, Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW,” katanya menerusi catatannya di Facebook. 

Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyekat laman sesawang dan menurunkan lima kandungan media sosial berkaitan ajaran sesat itu selain turut menjalin kerjasama strategik bersama JAKIM, jabatan agama negeri-negeri serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekang ajaran itu daripada terus berleluasa.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan