AM > BERITA

TUNKU MAHKOTA ISMAIL MAHU TIADA KEMISKINAN TEGAR DI JOHOR SELEPAS 2025

09/05/2024 02:30 PM

ISKANDAR PUTERI, 9 Mei (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail mahu tiada ketua isi rumah bangsa Johor berstatus miskin tegar selepas 2025.

Baginda bertitah sehubungan itu, kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor perlu lebih proaktif mengenal pasti kelompok berkenaan dan memberi bantuan dalam tempoh 19 bulan akan datang.

"Isu berkenaan perlu diberi perhatian dan ia menjadi tanggungjawab besar setiap ADUN untuk memastikan tiada bangsa Johor miskin tegar selepas 2025.

"Sila cari dan kenal pasti kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) dalam kategori ini, beri bantuan diperlukan oleh agensi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta untuk bantu mereka," titah baginda.

Tunku Mahkota Ismail bertitah ketika merasmikan pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Baginda turut menitahkan supaya program-program mendekati rakyat, bantuan sosial, infrastruktur dan  pendidikan inklusif kepada masyarakat diteruskan.

Tunku Mahkota Ismail bertitah baginda memahami keresahan rakyat yang berdepan situasi ekonomi tidak menentu terutama dengan peningkatan kos sara hidup.

“… ini menjadi keutamaan saya agar semua bangsa Johor mempunyai makanan atas meja, tempat tinggal, akses pendidikan berkualiti untuk anak Johor serta akses kepada kemudahan kesihatan yang baik.

"Hal ini juga adalah tanggungjawab terbesar anda untuk menjaga kebajikan bangsa Johor. Tolong berkhidmat untuk rakyat dan jangan sesekali lupakan tanggungjawab ini," titah baginda.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan