AM > BERITA

HAJI: FOKUS DOA DAN SOLAT SUNAT KETIKA DI RAUDAH, BUKAN SIBUK MENGAMBIL GAMBAR

09/05/2024 09:18 PM

Daripada Noor Shamsiah Mohamed @Ismail

MADINAH, 9 Mei (Bernama) -- Jemaah haji yang berpeluang menziarahi Raudah di Masjid Nabawi, dinasihatkan tidak terlalu teruja dan sibuk mengambil gambar sehingga terlupa melakukan ibadah yang sekali gus merugikan mereka, kerana ia antara tempat paling mustajab untuk berdoa seperti yang dijanjikan Allah SWT.

Pengurus Ibadah Madinah Tabung Haji (TH) Muhammad Fakhrur Ridzwan Othman berkata peluang  memasuki Raudah, perlu digunakan sebaiknya dengan melakukan solat sunat dan berdoa sebanyak mungkin, berikutan masa yang dibenarkan oleh seseorang jemaah berada situ amat terhad.

“Keterujaan itu kita faham, jemaah khususnya yang pertama kali masuk dan ada telefon pintar, tentulah hendak mengambil gambar. Bukan kita tidak bagi, boleh...tetapi adabnya pertama sekali mestilah melaksanakan solat sunat, sebab di situ merupakan kawasan Masjid Nabi Muhammad SAW. 

“Jadi, dirikan solat dahulu seperti solat sunat tahiyatul masjid, kemudian panjatkan doa sebanyak yang mungkin selama mana kita berada di dalam Raudah, sebab ia tempat mustajab berdoa, kemudian diakhir aktiviti di Raudah itu, baharulah kita mengambil gambar,” katanya dalam satu temu bual bersama petugas media di sini baru-baru ini.

Selain itu, beliau turut mengingatkan jemaah haji agar memperbanyakkan salawat kepada Nabi Muhammad SAW, supaya mendapat syafaatnya di akhirat kelak.

Muhammad Fakhrur Ridzwan berkata Lembaga Tabung Haji (TH) akan berusaha memastikan 31,600 jemaah haji Malaysia, berpeluang memasuki taman syurga itu dengan membuat permohonan secara berkumpulan, kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengikut KT masing-masing.

Namun sebelum itu, setiap jemaah haji perlu terlebih dahulu memuat turun aplikasi elektronik Nusuk, di telefon pintar masing-masing. 

Selain ziarah Raudah, TH turut mengadakan beberapa aktiviti lain bagi mengisi masa jemaah haji sepanjang enam hari di Madinah, termasuk ziarah makam Rasulullah SAW, melawat perkuburan Baqi manakala ziarah luar membabitkan lawatan ke Masjid Quba', Masjid Qiblatain, Masjid Khandaq dan Bukit Uhud, serta ladang kurma.

Untuk membantu kelancaran sepanjang aktiviti ziarah tersebut, termasuk menjawab soal kemusykilan agama, Pembimbing Ibadah Haji terdiri daripada lima lelaki dan lima perempuan, akan membantu jemaah sepanjang berada di Madinah.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan