AM > BERITA

SIRI POPULAR 'WORDS OF PEACE' BERSAMA PREM RAWAT KEMBALI KE BERNAMA TV

10/05/2024 12:07 AM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Siri televisyen popular ‘Words of Peace’ yang menampilkan Duta Keamanan Sejagat Prem Rawat akan kembali ke Bernama TV bermula Ahad ini (12 Mei).

Yayasan Prem Rawat dalam kenyataan hari ini memaklumkan program yang mendapat tontonan ramai ketika disiarkan di Bernama TV dari 2011 hingga 2016 itu akan ditayangkan selama 15 minit dua kali seminggu  iaitu setiap Ahad bermula 8.30 malam dan Rabu bermula 7.30 malam.

"Topik sekali lagi berkisar mengenai keamanan dan akan memaparkan antara lain petikan ucapan Prem Rawat kepada para pelajar dan ahli akademik di universiti, institusi global terkemuka selain wawancara dengan wartawan dari seluruh dunia," menurut kenyataan itu.

Episod pertama yang dijadualkan pada Ahad ini akan menampilkan sesi temu bual bersama Prem Rawat dan bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Yong Soo Heong.

Menurut kenyataan itu mereka akan membincangkan berkaitan ketenangan diri dan bagaimana keamanan boleh menjadi pencapaian terbesar manusia.

Prem, 66, yang menyebarkan mesej keamanan selama lebih lima dekad, memegang dua Guinness World Records untuk kehadiran teramai di acaranya dengan terbaharu dihadiri 375,603 orang pada November tahun lepas di India.

Setakat ini Prem telah berkongsi pandangannya tentang keamanan dengan berjuta-juta orang di 5,623 acara di seluruh dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan