AM > BERITA

UTM OPTIMIS PACU TEKNOLOGI AI NEGARA, LAHIR TENAGA MAHIR

10/05/2024 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang menjadi universiti pertama di negara ini menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI), optimis berupaya memperkasa teknologi AI dengan keupayaan kepakaran sedia ada sekali gus melahirkan tenaga kerja mahir.

Naib Canselor UTM Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata bagi memastikan teknologi AI dipacu lebih pantas sekali gus membolehkan Malaysia bersaing dengan negara maju, inisiatif kolaboratif dengan institusi akademik lain dikenali sebagai Konsortium AI Malaysia (MAIC) turut diperkenal.

“Fakulti AI UTM telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini yang bertujuan melatih bakat AI dengan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi dalam bidang AI dan robotik dengan fokus untuk menarik pelabur dan industri tempatan. Kurikulum yang dibangunkan selaras dengan keperluan industri melibatkan pakar-pakar dalam bidang AI.

“Bagi memacu AI lebih pantas, kita cadangkan kepada kementerian untuk mengadakan MAIC maknanya bekerjasama dengan universiti lain yang pakar dalam bidang masing-masing, sebagai contoh Universiti Putra Malaysia dalam bidang pertanian, begitu juga dengan bidang perubatan, kita kenal pasti universiti mana yang pakar,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata MAIC menekankan projek penyelidikan bersama, perkongsian data, repositori kod, bengkel, seminar dan inisiatif pendidikan sambil menitikberatkan amalan etika AI seperti keadilan, ketelusan, perlindungan privasi serta akauntabiliti.

“Objektif strategik utamanya ialah menyatukan ekosistem AI Malaysia, memupuk inovasi, mempromosikan pembangunan dan pelaksanaan teknologi AI yang bertanggungjawab.

“Konsortium ini mendapat dana daripada geran kerajaan, penaja industri, yuran keahlian dan sumber lain dengan matlamat kelestarian, perkongsian strategik, pembinaan kapasiti, harta intelek dan penglibatan komuniti,” katanya.

Mengulas mengenai Fakulti AI UTM, Ahmad Fauzi berkata Program Ijazah Sarjana Muda AI yang mendapat kelulusan Jawatankuasa Pendidikan Tinggi pada Januari lepas itu akan dimulakan dengan kohort pertama pelajar pada Oktober ini.

Beliau berkata tempoh program akademik Ijazah Sarjana Muda AI ialah tiga tahun dan mempunyai tiga semester setahun serta 121 kredit untuk pelajar bergraduan.

“Strategi program akademik ini ialah ‘Industry-Infused’ iaitu penglibatan industri yang lebih jelas dalam memastikan relevansi program dengan keperluan industri bagi melahirkan tenaga kerja berkualiti dalam bidang AI dan pelbagai bidang yang mengaplikasikan AI seperti pertahanan, pendidikan dan kesihatan.

“Kita jangka pengambilan pertama kita sekitar 120 orang pada Oktober ini namun sekiranya permintaan tinggi, kita akan rujuk kepada kementerian untuk menambah kuota pengambilan,” katanya.

Mengulas hala tuju bagi menggerakkan Fakulti AI dan MAIC, Ahmad Fauzi berkata program akademik dan aktiviti penyelidikan di fakulti itu akan kekal berorientasikan industri selaras dengan keperluan dan trend semasa industri AI serta robotik.

“Selain itu, kerjasama industri-akademik tempatan dan antarabangsa juga akan diperkukuh untuk peluang latihan industri, projek penyelidikan bersama dan penempatan pelajar selain pengembangan rangkaian antarabangsa.

“Pengembangan kemahiran dan latihan dengan menyediakan peluang pembangunan kemahiran dan latihan yang berterusan bagi staf akademik, penyelidik dan pelajar dalam Fakulti AI ini termasuk menyokong program latihan industri, kerja kursus dan penyelidikan berterusan untuk memastikan mereka sentiasa relevan dengan perkembangan terkini dalam bidang kecerdasan buatan,” katanya.

Beliau juga berkata dalam usaha memastikan Fakulti AI dan MAIC menjadi pemacu bagi memajukan penyelidikan, pendidikan dan pengaplikasian AI, antara mekanisme yang boleh dilaksana ialah menerajui projek penyelidikan bersama dan interdisiplin, memimpin pembentukan pasukan penyelidikan selain menyemarak bengkel dan seminar bagi pertukaran pengetahuan.

Terdahulu, Perdana Menteri melancarkan Fakulti AI UTM, MAIC dan Hala Tuju Bakat AI Malaysia 2024-2030 sempena program Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan