AM > BERITA

KERAJAAN GALAK PEMAIN INDUSTRI BERI PELUANG PEKERJA SAMBUNG PENGAJIAN - LIEW

08/06/2024 06:58 PM

IPOH, 8 Jun (Bernama) -- Kerajaan menggalakkan pemain industri memberi peluang kepada mana-mana pekerjanya melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi bagi meningkatkan produktiviti serta bilangan tenaga mahir dalam sektor perindustrian di negara ini.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata model seumpama itu yang digunakan oleh banyak negara maju seperti Jerman, Belanda dan Amerika Syarikat adalah untuk memastikan pembangunan dalam bidang perindustrian terus ditingkatkan.

"Banyak program yang berjaya di sana kerana syarikat bayar mereka belajar dan bekerja. Mungkin kerja dua hari, belajar tiga hari atau mungkin belajar dua minggu, kerja dua minggu, tetapi inilah yang disebutkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan timbalannya berkenaan pembelajaran berasaskan kerja (work-based learning).

"Ia bermaksud kalau kita nak lebih ramai rakyat bekerja di kilang, bekerja dalam sektor pembuatan, kita perlu memberikan peluang dan menggaji mereka untuk belajar. Kita perlukan paradigma baharu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Perdana Kesedaran e-Invoicing dan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP) Kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di sini hari ini.

Liew berkata kerajaan juga telah mewujudkan jawatankuasa khas dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menjadi cabang utama bagi melahirkan tenaga mahir dalam bidang perindustrian.

"Kerajaan pada ketika ini sedang memberi tumpuan untuk menjayakan lebih banyak program TVET bagi melahirkan lebih banyak jurutera dalam sektor semikonduktor," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata NIMP 2030 menggariskan hala tuju negara terutama dalam mewujudkan persekitaran industri menggunakan lebih banyak teknologi hijau selain pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), automasi dan pelbagai teknologi lain. 

Menurutnya lagi, bagi menjayakan usaha tersebut, negara amat memerlukan tenaga kerja berkemahiran selain memastikan gaji setimpal diterima pekerja di negara ini supaya mereka tidak berhijrah ke luar negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan