AM > BERITA

KUSKOP PERUNTUK RM1.044 JUTA BAGI OPERATOR PROGRAM JMK - RAMANAN

09/06/2024 01:38 PM

PETALING JAYA, 9 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah memperuntukkan insentif harga berjumlah RM1, 044, 000 kepada koperasi yang dilantik sebagai operator program Jualan MADANI Koperasi (JMK) kepada pengguna.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata sebanyak 36 program JMK telah diadakan di 19 kawasan Parlimen di seluruh negara dari Januari hingga 7 Jun lepas.

"JMK telah memberi manfaat kepada 90,535 pengguna termasuk anggota koperasi dan masyarakat setempat.

"Program ini juga telah mencatat jumlah jualan sebanyak RM3.6 juta melalui 95 koperasi yang dilantik sebagai operasi jualan," katanya dalam sidang media selepas mengadakan sesi jelajah mesra program JMK anjuran SKM sempena sambutan Aidiladha di Kota Damansara di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif SKM Rusli Jaafar.

Ramanan turut menyampaikan sumbangan Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (TBKK) kepada koperasi yang terjejas akibat bencana alam dalam program tersebut.

Beliau berkata bantuan berkenaan meliputi sebahagian kos pembaikan kerosakan premis, aset atau produk koperasi.

"Sehingga kini, sebanyak 11 permohonan telah diluluskan di bawah TBKK yang melibatkan peruntukan berjumlah RM197,000 untuk seluruh Malaysia," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan