AM > BERITA

UTHM SASAR 1,800 PELAJAR TERLIBAT AKTIVITI BERSAMA MASYARAKAT SETIAP TAHUN

09/06/2024 02:06 PM

Oleh Kamarul Halim M Kamal

BATU PAHAT, 9 Jun (Bernama) -- Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyasarkan sekurang-kurang 1,800 pelajarnya mempunyai keterlibatan atau aktiviti bersama masyarakat setiap tahun bertujuan memupuk semangat perpaduan.

Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) UTHM Dr Lutfan Jaes berkata pihaknya mewujudkan aktiviti kokurikulum berkonsepkan libat urus lestari atau Sustainable Engagement Project (SEP) yang turut melibatkan pihak universiti dan penduduk setempat.

Beliau berkata selain mengadakan aktiviti dengan memanfaat konsep perpaduan antara kedua-dua pihak, ia juga sebagai satu cara pemindahan ilmu daripada pelajar setiap kursus kepada peserta dalam kalangan masyarakat.

“Sebagai contoh, pada aktiviti kali ini kita ada pelajar UTHM yang mempunyai ilmu dalam bidang konkrit dan mereka memindahkan ilmu berkenaan kepada pelajar Sekolah Menengah (SM) Islam Hidayah Pasirris dengan menghasilkan laluan pejalan kaki di sekolah tersebut.

“Kita juga berkongsi berkaitan kaedah pemadaman kebakaran, pertolongan cemas serta berkaitan kesedaran kanser dan juga bahaya penyalahgunaan dadah,” katanya kepada Bernama selepas Program SEP Perdana Next Generation Day di SM Islam Hidayah Pasirris Batu Pahat, di sini.

Lutfan berkata program berkenaan adalah anjuran PPUK melalui kursus kokurikulum berkredit Pengurusan Diri, Pembimbing Rakan Sebaya dan Kerja Konkrit Seksyen 1, melibatkan 90 pelajar UTHM dan 101 pelajar sekolah.

Beliau berkata dengan adanya program seperti ini, masyarakat sekitar akan menerima manfaat tertentu yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian, selain memberikan pendedahan baharu kepada peserta.

“Bagi pelajar dari UTHM pula ia merupakan satu kursus wajib bagi mereka sebelum menamatkan pengajian. Melalui kursus ini masing-masing akan mempunyai kemahiran komunikasi dengan orang ramai.

“Ia juga sesuai dengan alam pekerjaan kini yang kebanyakannya perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi yang baik,” katanya.

Sementara itu, bagi pelajar SM Islam Hidayah Pasirris Muhammad Adam Alif Abu Bakar, 17, antara ilmu baharu diperoleh dalam program berkenaan adalah cara memadam kebakaran kecil dengan kaedah yang betul.

Bagi Muhammad Akid Ahmad Mahmod, 17, pula dia menggemari kaedah pembinaan pejalan kaki dan ilmu itu boleh digunakannya kelak setelah mempelajari kaedah yang betul dalam pembancuhan simen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan