Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Orang Ramai Banjiri Dataran Putrajaya Raikan Hari Kebangsaan Ke-68

31/08/2025 10:35 AM

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) -- Pekarangan Dataran Putrajaya mula dipenuhi orang ramai untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 yang bermula 8 pagi ini.

Tinjauan Bernama mendapati, seawal 8 malam semalam, orang ramai mula ‘berkampung’ di tapak sambutan dengan membawa tikar dan kerusi untuk memastikan mereka mendapat tempat terbaik bagi menyaksikan satu lagi detik bersejarah negara itu.

Keadaan cuaca yang baik pagi ini melancarkan dan memudahkan pergerakan pengunjung serta peserta perarakan dan persembahan membuat persiapan.

Ad Banner

Pengunjung Sara Ishak, 40, dari Kajang sanggup keluar rumah seawal 3 pagi semata-mata untuk memberikan peluang kepada dua cahaya matanya berusia 10 dan enam tahun melihat lebih dekat acara perbarisan yang penuh warna-warni ini dengan berada berhampiran pentas utama.

“Tahun lepas kami sampai lewat, jadi tak dapat lihat perarakan dengan jelas. Kali ini anak-anak begitu teruja, sanggup berjalan lebih satu kilometer untuk dapatkan tempat di hadapan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini

Bagi Sara, pengalaman kali kedua ini lebih bermakna apabila dapat bersama-sama lautan manusia meraikan detik penuh patriotisme di Dataran Putrajaya.

Ad Banner

Sementara itu, Haznil Hafizi, 26, sanggup memandu lebih 400 kilometer ke Putrajaya dari Sungai Petani, Kedah semata-mata untuk meraikan Hari Kebangsaan tahun ini.

“Alhamdulillah, rezeki abang saya terpilih masuk perbarisan ATM. Perasaan memang seronok, ini kali pertama kami hadir secara fizikal. Kami sekeluarga tidak kisah berjalan hampir dua kilometer kerana tidak mahu ketinggalan menyaksikan detik sejarah untuk negara dan keluarga kami,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang bertemakan Malaysia MADANI: Rakyat disantuni bermula seawal 7 pagi dengan ketibaan pemimpin negara, diikuti keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Sebanyak 81 kontinjen melibatkan 14,062 peserta akan mengambil bahagian dalam perarakan dan perbarisan yang turut menampilkan 21 pasukan pancaragam, tujuh kereta berhias, 508 aset darat dan udara, serta 116 haiwan dalam perkhidmatan awam.

Pengunjung Pang Chee Wei, 45, berkata beliau buat kali pertama datang menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan bersama keluarganya di Putrajaya berbanding tahun-tahun sebelum ini hanya menyaksikannya di Tangkak, Johor.

"Sebelum ini kita menyambut Hari Kebangsaan di kampung sahaja tetapi tahun ini kita merancang untuk datang ke Putrajaya dan menyaksikan sambutan peringkat nasional. Saya sangat teruja dan gembira dengan kemeriahan di sini. Kami sayangkan Malaysia," katanya.

S. Dishaine,18, pula berkata beliau sangat gembira berada di Dataran Putrajaya untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2025.

"Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya bangga kerana banyak orang datang untuk meraikan Hari Kebangsaan tidak kira agama dan bangsa serta latar belakang," katanya sambil menambah sebagai pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) beliau sungguh berbangga terlibat dengan bacaan ikrar dan persembahan tarian Citra MADANI.

Sementara itu, pelancong asing Jose Castillo, 22, berkata beliau tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan dan hasrat untuk mengunjungi negara ini tercetus daripada ajakan rakan karibnya dari Romania yang menuntut di Universiti Malaya (UM).

"Rakannya berkongsi pengalaman menarik ketika menyaksikan sambutan sebelum ini dan saya sungguh gembira dapat berkongsi kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan di sini. Setiap orang bercerita mengenai perkara yang menarik tentang negara ini, terutamanya rakyatnya, ternyata ia memang benar," kata Castillo dari Sepanyol.

Beliau berkata perpaduan dalam kepelbagaian yang terdapat di Malaysia melambangkan erti sebenar semangat kemerdekaan dan ia akan kekal menjadi kenangan yang terindah. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan