AM > BERITA

PENYASARAN SUBSIDI: MYCC PASTIKAN AMALAN PASARAN KOMPETITIF BAGI DIESEL

10/06/2024 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menyatakan komitmen untuk memastikan amalan pasaran yang kompetitif dan bebas kartel susulan pelaksanaan subsidi diesel bersasar di Semenanjung Malaysia yang berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail berkata suruhanjaya itu bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Kewangan (MOF) dalam mendapatkan akses kepada data penting bagi mengesan dan bertindak balas terhadap sebarang tanda herotan pasaran terutamanya aktiviti kartel.

Beliau berkata walaupun MyCC maklum wujudnya persaingan dalam pasaran berkaitan, suruhanjaya itu akan terus memantau dengan teliti sebarang tingkah laku antipersaingan.

"MyCC akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang didapati terlibat dalam tingkah laku kartel atau pakatan harga, yang menjejaskan integriti pasaran yang boleh memberi kesan kepada pelaksanaan subsidi bersasar ini.

"Kami akan bertindak tanpa rasa gusar atau pilih kasih terhadap pemain-pemain di mana-mana peringkat rantaian bekalan yang menunjukkan tanda-tanda menghalang, menyekat atau mengganggu-gugat persaingan dalam pasaran untuk barangan atau perkhidmatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Iskandar, untuk mengukuhkan kesediaan dan usaha MyCC, sumber khas telah didedikasikan kepada suruhanjaya itu bagi menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam tingkah laku sabotaj ekonomi yang berkaitan.

Beliau berkata MyCC mengalu-alukan sebarang pertanyaan atau laporan daripada pengguna dan syarikat, mereka boleh berbuat demikian melalui laman web www.mycc.gov.my atau cara lain yang memudahkan mereka.

Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula hari ini.

Sehubungan dengan itu, kerajaan melaksanakan inisiatif BUDI MADANI bertujuan memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada mereka yang layak dan mengurangkan beban golongan yang memerlukan, dengan pemberian RM200 bantuan tunai bulanan.

Pendaftaran bagi BUDI MADANI dibuka pada 28 Mei lepas dan tiada tarikh tutup ditetapkan untuk permohonan bantuan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan