DUNIA > BERITA

Zelenskyy Cadang Perjumpaan Peringkat Tertinggi Dengan Rusia Untuk Penyelesaian Konflik Ukraine

01/08/2025 11:52 PM

MOSCOW, 1 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menggesa agar diadakan pertemuan peringkat tertinggi dengan kepimpinan Rusia bagi menyelesaikan konflik yang berlarutan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menerusi kenyataan di Telegram, Zelenskyy menegaskan: “Kami faham siapa yang membuat keputusan di Rusia dan siapa yang mesti menamatkan perang ini. Seluruh dunia juga memahaminya.”

“Ukraine mencadangkan agar perbincangan bergerak daripada kenyataan awam dan mesyuarat teknikal kepada rundingan peringkat kepimpinan. Amerika Syarikat telah mencadangkannya. Ukraine menyokong. Kini, kesediaan Rusia pula diperlukan,” katanya.

Presiden Ukraine itu turut mengiktiraf usaha Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam membantu menamatkan peperangan, sambil merakamkan penghargaan dan menyeru sekatan lebih tegas dikenakan terhadap Moscow.

Mengulas kenyataan terbaharu Rusia, Zelenskyy berkata: “Kami mendengar kenyataan daripada pihak Rusia dan sekiranya ini mencerminkan kesediaan sebenar mereka untuk menamatkan perang secara terhormat serta mewujudkan keamanan jangka panjang - bukan sekadar percubaan untuk melengah-lengahkan perang dan sekatan - maka Ukraine sekali lagi mengesahkan kesediaan untuk mengadakan pertemuan peringkat tertinggi pada bila-bila masa.”

Susulan pusingan ketiga rundingan damai Rusia-Ukraine di Istanbul, Ketua Delegasi Ukraine Rustem Umerov memaklumkan bahawa keutamaan mereka kini adalah mengatur pertemuan antara presiden kedua-dua negara menjelang akhir Ogos.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan