AM > BERITA

PEMULA NIAGA CLLA DAFTAR LEBIH RM36 JUTA DALAM MINAT PELABURAN SEMASA HARI DEMO

10/06/2024 10:53 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Tujuh pemula niaga daripada Kohort ke-18 program Cyberview Living Lab Accelerator (CLLA) mendaftarkan lebih daripada RM36 juta dalam minat pelaburan dan lebih 30 minat perkongsian daripada pelabur baru-baru ini.

Pemula niaga itu ialah MengajiOnline.com, NexoPrima, MindnRobotics, SOLVNEX, Smartpeep, Bual Design dan BriqBloq.

Penganjur program, Cyberview Sdn Bhd melalui satu kenyataan hari ini berkata minat itu datang daripada pelabur, agensi pembiayaan serta rakan kongsi korporat dan industri semasa acara Hari Demo yang diadakan pada 15 Mei 2024 lepas.

"Kohort sekarang ini memberi tumpuan kepada penawaran penyelesaian digital serta berpusatkan data untuk kehidupan pintar dan hijau dengan memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Perkara (IoT) industri termasuk robotik," kata pemaju hab teknologi itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview, Kamarul Arifin Abdul Samad memberitahu program CLLA adalah platform yang mantap bagi meningkatkan pemula niaga dan syarikat tempatan untuk membangun serta mengkomersialkan idea inovatif mereka.

“Dengan Kertas Tindakan KL20 yang diumumkan baru-baru ini yang bertujuan merangsang pertumbuhan pemula niaga, kami berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan termasuk pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mewujudkan ekosistem kerjasama yang lebih besar dalam membantu inovator Malaysia berkembang di serantau dan global," katanya.

Kamarul Ariffin turut memetik kenyataan Menteri Digital, Gobind Singh Deo, yang berkata 23 peratus daripada ekonomi Malaysia dipacu oleh digital.

Pemula niaga dan sektor teknologi akan memainkan peranan penting dalam Rangka Kerja Ekonomi MADANI, yang diumumkan pada 2023 dengan peruntukan pembiayaan RM1 bilion untuk menyokong syarikat baru tempatan.

Kamarul Ariffi menambah Cyberview baru-baru ini bekerjasama dengan HFU Capital bagi penganjuran Hunt for Unicorns International Venture Capital and Investment Forum - Cyberjaya Edition, bersama Cradle Fund Sdn Bhd sebagai rakan kongsi ekosistem.

Forum tersebut akan menyaksikan syarikat-syarikat Malaysia dan China bersaing untuk mendapatkan pembiayaan daripada modal teroka, pelabur budiman serta firma ekuiti persendirian dari China, Taiwan, Hong Kong, Singapura, Indonesia, Kemboja, dan Malaysia.

Tigasfera Sdn Bhd dan Alphaswift Industries Sdn Bhd adalah antara lima pemula niaga terbaik yang telah menerima pelaburan bernilai RM40,000 setiap satu. Kedua-dua syarikat adalah sebahagian daripada inisiatif Cyberview Living Lab.

“Kami berharap untuk mengadakan lebih banyak acara seperti ini, kerana kerjasama sedemikianlah yang diperlukan untuk memuktamadkan lingkaran usaha yang dibuat bagi mencipta pemula niaga termasuk ekosistem modal teroka yang berkembang maju di Cyberjaya,” katanya.

CLLA dianjurkan secara tahunan bersama rakan ekosistem seperti Cradle Fund, Malaysia Digital Economy Corporation dan Malaysia Debt Ventures Bhd.

Sejak penubuhannya pada 2013, program ini telah membantu pemula niaga untuk mengumpul lebih RM252 juta dalam jumlah pelaburan serta lebih daripada RM775 juta dalam hasil kumulatif. Syarikat-syarikat baharu ini secara kolektif telah memberi kesan kepada ekonomi dengan mewujudkan lebih daripada 1,400 pekerjaan.

Cyberview sedang mencari pemula niaga dengan produk serta penyelesaian yang inovatif, dalam bidang Mobiliti Pintar, Penjagaan Kesihatan Pintar dan Kreatif Digital bagi menyertai kohort seterusnya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan