AM > BERITA

AMINUDDIN PELAWA FIRMA NEW ZEALAND TEROKA PELUANG DI NEGERI SEMBILAN

11/06/2024 12:19 AM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Kalangan syarikat New Zealand dipelawa meneroka usaha sama dengan Negeri Sembilan, khususnya dalam industri halal yang sedang berkembang pesat.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata negeri itu menawarkan kelebihan strategik kepada pelabur asing merentas pelbagai industri termasuk farmaseutikal, teknologi makanan, pertanian, produk halal dan sektor teknologi tinggi.

“Saya ingin menekankan kepada semua pihak bahawa lokasi strategik Negeri Sembilan merupakan faktor utama dalam menarik pelabur asing untuk mewujudkan industri, sekali gus merangsang pembangunan ekonomi,” katanya semasa sesi jaringan anjuran Invest Negeri Sembilan di Auckland, New Zealand baru-baru ini, menurut catatan di laman Facebook beliau.

Acara itu diadakan dengan kerjasama Persatuan Perniagaan New Zealand Malaysia (NZMBA) dan Majlis Perniagaan Asean New Zealand (ANZBC).

Beliau berkata selain itu, syarikat multinasional dari Jepun, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Belanda telah mewujudkan operasi masing-masing, yang membuktikan keyakinan mereka terhadap keupayaan kerajaan negeri untuk menyediakan persekitaran perniagaan dan pelaburan yang kondusif.

Delegasi Aminuddin termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Zafir Ibrahim, Datuk Bandar Seremban Datuk Masri Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest NS Datuk Najmuddin Sharif Sarimon.

Kehadiran mereka membuktikan komitmen Negeri Sembilan untuk memupuk hubungan perniagaan antarabangsa dan meneroka jalan baharu untuk pelaburan.

Sementara itu, Presiden NZMBA Dave Ananth menyatakan rasa teruja dengan peluang yang diberikan.

“Kami didorong dengan kehadiran Menteri Besar dan pasukannya,” katanya di samping menekankan potensi untuk kerjasama yang membuahkan hasil.

Pihak NZMBA akan membincangkan peluang pelaburan dengan peserta tempatan semasa Fieldays akan datang, acara pertanian terbesar di Hemisfera Selatan dan platform pelancaran untuk teknologi dan inovasi termaju minggu depan, katanya.

Pendekatan proaktif itu bertujuan merapatkan hubungan dan mengorak laluan kepada usaha sama yang boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua negara, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan