Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sketsa 'Operasi Bersepadu' Curi Tumpuan Sambutan Hari Kebangsaan Negeri Sembilan

31/08/2025 04:29 PM

SEREMBAN, 31 Ogos (Bernama) -- Sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat Negeri Sembilan di Dataran Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini menampilkan kelainan apabila diserikan dengan persembahan sketsa ‘Operasi Bersepadu’ oleh anggota keselamatan, sekali gus memukau ribuan pengunjung.

Berteraskan pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat, persembahan penuh aksi itu adalah usaha kolektif agensi kerajaan dan masyarakat dalam menjamin keselamatan, keharmonian serta kesejahteraan selain menggambarkan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan.

Persembahan itu antara lain membabitkan Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, KPJ Seremban dan Majlis Bandaraya Seremban.

Ad Banner

Fragmen persembahan khas Hari Kebangsaan itu diilhamkan Panglima Briged Pertama Infantri Malaysia Brig Jen Zamri Othman serta mendapat sentuhan Pengarah Artistik dan Konsep Persembahan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan Mohd Zuhairi Ibrahim.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat ke sambutan itu, dengan ketibaan baginda disambut Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut hadir Undang Luak Johol Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad dan Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Ad Banner

Sebanyak 87 kontinjen membabitkan 5,000 peserta menyertai perbarisan terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pentadbiran daerah, badan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan institusi pengajian tinggi serta syarikat swasta.

Istiadat Kawalan Kehormatan Utama (KKU) terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Senawang diketuai Mejar Muhammad Hazim Abdul Ghalib dengan Pegawai Panji-Panji Lt Muda Adam Bachtiar Ibrahim dan Sarjan Mejar Rejimen Pegawai Waran (PW) I Muhd Azuwan Aziz. 

KKU diiringi Pancaragam Gabungan Pasukan 24 RAMD dan dua Kor Armor Diraja dengan kekuatan 32 anggota lain-lain pangkat diketuai PW II Azuan Zakari dengan iringan muzik termasuk lagu Berbuat Jasa, Perwira, Gagah Setia dan Lemak Manis.

Selain persembahan sketsa, perarakan aset agensi serta kenderaan berhias, sambutan turut menampilkan buat kali pertama maskot rasmi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 iaitu sepasang rusa sambar diberi nama ‘Jang’ dan ‘Dagho’ oleh Kontinjen Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan.

 Aminuddin yang ditemui selepas majlis itu melahirkan rasa kagum dengan persembahan kali ini serta menzahirkan penghargaan kepada kira-kira 30,000 pengunjung berbilang bangsa dan kaum yang hadir memeriahkan sambutan biarpun hujan renyai awal pagi tadi.

“Alhamdulillah, tahniah dan terima kasih kepada Panglima Briged Pertama Infantri yang memberikan idea bernas, sekali gus menunjukkan kepada masyarakat untuk menghargai keamanan dan kesejahteraan negeri.

“Kehadiran pengunjung yang lebih ramai daripada tahun lepas menunjukkan semangat cinta akan tanah air begitu tinggi dan mereka berpuas hati melihat persembahan,” katanya.

Sementara itu, warga emas dari Taman Desaru di sini, Junaidah Abdul Rahman, 70, bersama suami dan dua anak perempuannya teruja kerana dapat menyaksikan persembahan itu, dan pada masa sama terharu dengan mesej disampaikan.

“Kami datang seawal 3 pagi kerana takut tidak dapat tempat duduk. Amat puas tengok persembahan hari ini dan rasa sebak melihat perbezaan dulu dan sekarang. Dapat merasai kesusahan orang terdahulu mendapatkan kemerdekaan serta lagu yang membangkitkan semangat,” katanya.

Guru Nurul Hafizah Huzman, 40, berkata dia membawa tiga anak kerana mahu mereka merasai kemeriahan suasana sambutan Hari Kebangsaan dan menanam rasa cinta akan tanah air sejak kecil.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan