AM > BERITA

KESEDAR BAKAL BANGUNKAN TAMAN INDUSTRI BERIMPAK TINGGI DI TANAH MERAH

11/06/2024 10:19 AM

KOTA BHARU, 11 Jun (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan membangunkan kawasan industri di Tanah Merah sebagai inisiatif terbaharunya memajukan lagi wilayah itu. 

Pengerusinya Datuk Zawawi Othman berkata projek berimpak tinggi dikenali sebagai Kesedar Industri Park (KIP) itu membabitkan keluasan tanah antara 130 hingga 150 hektar.

"Rancangan ini telah kita bentangkan pada mesyuarat lembaga pengarah dengan anggaran nilai projek berjumlah RM2 bilion.

"Kita akan tentukan jenis industri yang berimpak tinggi dibangunkan di kawasan ini dan dijangka menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada penduduk khususnya bagi anak-anak Kesedar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kesedar bagi tahun 2023 di sini semalam, yang turut dihadiri Pengurus Besar Wan Muhd Rahimi Wan Salleh.

Mengulas lanjut, Zawawi berkata Kesedar sebagai agensi pembangunan wilayah di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerima peruntukan berjumlah RM3 juta tahun lepas bagi membantu masyarakat luar bandar menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 34 unit bina baru PPRT dilaksanakan melibatkan peruntukan RM2.2 juta, manakala RM1.9 juta lagi diperuntukkan untuk membaik pulih 129 buah rumah.

"Pada tahun ini, kita telah membina 50 unit rumah baharu PPRT dan 20 projek baik pulih membabitkan kos berjumlah RM2 juta," katanya.

Beliau berkata Kesedar turut menerima sejumlah RM2.78 juta peruntukan pada tahun lepas bagi membantu golongan usahawan meningkatkan pendapatan dan usaha itu akan diteruskan tahun ini dengan bantuan sebanyak RM1.6 juta.

"Kesedar optimis melalui inisiatif yang diambil mampu memacu usaha membasmi sepenuhnya miskin tegar serta meningkatkan mutu kehidupan golongan miskin di luar bandar selaras dengan hasrat kerajaan MADANI," katanya.

-- BERNAMA

 

 

  


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan