AM > BERITA

LESEN SYARIKAT PASADANA TRAVEL & TOURS SDN BHD DIGANTUNG 

11/06/2024 06:43 PM

PUTRAJAYA, 11 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menggantung lesen syarikat pengendali umrah Pasadana Travel & Tours Sdn Bhd berkuat kuasa 20 April hingga 31 Dis 2024. 

Dalam kenyataan hari ini, MOTAC memaklumkan penggantungan lesen syarikat itu dibuat di bawah subseksyen 8(1)(b) dan subseksyen 8(1)(d) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

“Dalam tempoh penggantungan lesen ini, syarikat tidak boleh mengurusniagakan apa-apa perniagaan baharu seperti mengiklankan pakej umrah dan mengambil jemaah baharu untuk mengerjakan umrah,” kata MOTAC.

Dalam tempoh penggantungan tersebut, syarikat tersebut dikehendaki memulangkan semula bayaran dan apa-apa dokumen milik jemaah umrah yang memilih untuk membatalkan tempahan syarikat.

MOTAC berkata sekiranya didapati syarikat melanggar syarat tersebut, tindakan pembatalan lesen boleh diambil dan tiada pembaharuan lesen akan dibenarkan setelah habis tempoh lesen.

Subseksyen 8(1)(b) merujuk kepada pengusaha pelancongan berlesen melanggar mana-mana syarat yang dikenakan di bawah lesen, mana-mana peruntukan akta itu atau mana-mana undang-undang bertulis lain, tidak kira bahawa tiada pendakwaan telah dibawa bagi sesuatu kesalahan berkenaan dengan pelanggaran sedemikian. 

Subseksyen 8(1)(d) pula berkaitan dengan menjalankan perniagaan mengikut cara memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan