AM > BERITA

IIB TERUS SOKONG PEMERKASAAN DAN PENDIDIKAN BELIA JOHOR

11/06/2024 06:53 PM

ISKANDAR PUTERI, 11 Jun (Bernama) -- Iskandar Investment Bhd (IIB) terus memperkukuhkan komitmennya dalam memperkasa belia di Johor dan memupuk pembangunan bakat melalui dua inisiatif berimpak tinggi yang telah dilancarkan semasa program Johor Youth Meet Up baru-baru ini.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif IIB Datuk Idzham Mohd Hashim berkata dua inisiatif berkenaan yang dilancarkan ketika program anjuran Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) dan diserikan oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim itu berbentuk dana biasiswa serta sumbangan kepada Program Johor Global Leadership Nexus.

Beliau berkata bagi inisiatif pertama, dana biasiswa “Dana Ilmu IIB untuk Orang Muda Johor” menyediakan sejumlah RM300,000 untuk menaja sehingga 60 orang pelajar kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di peringkat Pengajian Asasi, Diploma dan Sarjana Muda di institusi pendidikan EduCity.

“Di samping itu, dalam menyokong pembentukan pemimpin dunia masa hadapan, IIB turut menyumbang sejumlah RM50,000 kepada Program Johor Global Leadership Nexus oleh Institut Dato’ Onn.

“Program ini menawarkan pendedahan dan pengalaman antarabangsa yang berharga kepada belia Johor melalui pelbagai kursus di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Idzham lagi, ia juga bertujuan untuk melengkapkan belia Johor dengan modul yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, amalan piawai serta inisiatif yang diperakui di seluruh dunia agar mereka dapat menyumbang secara tuntas kepada pembangunan Johor dan Malaysia.

Inisiatif ini menekankan komitmen IIB yang tidak berbelah bahagi dalam meningkatkan martabat pendidikan, kebajikan sosial dan pembangunan mampan sebagai tonggak utama dalam kemajuan dan kemakmuran negeri Johor, tambah beliau.

“Kami percaya bahawa belia yang diperkasakan merupakan tunjang kepada pembangunan dan kemajuan negeri ini.

“Oleh itu, melalui pelaburan ke dalam pembangunan pendidikan dan kepimpinan, kami bertekad untuk memupuk kecemerlangan pendidikan dan memperhebatkan peluang kerjaya di kalangan belia.

“…bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan daya sosioekonomi mereka bahkan juga untuk membolehkan mereka mencapai potensi dan keupayaan penuh untuk menyumbang kepada negeri ini dan negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan