AM > BERITA

KES KERACUNAN MAKANAN: POLIS AKAN PANGGIL PENGUSAHA KATERING, PENGANJUR

11/06/2024 07:32 PM

SHAH ALAM, 11 Jun (Bernama) -- Polis akan memanggil pihak berkaitan termasuk pengusaha katering dan penganjur program di sebuah sekolah agama di Gombak berhubung dua kes kematian akibat keracunan makanan, dalam masa terdekat.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata turut akan dipanggil ialah guru di sekolah berkenaan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Beliau berkata pihaknya juga masih menunggu laporan makmal berkaitan jenis keracunan makanan dengan kes itu ketika ini disiasat sebagai mati mengejut.

“Setakat ini, saya tidak ada jumlah berapa ramai yang akan dipanggil untuk memberi keterangan kerana siasatan masih awal. Cuma yang boleh disahkan mereka ini makan makanan yang asalnya sama dari tempat majlis itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini. 

Hussein memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) telah menutup kantin di sekolah itu dan setakat ini, sebanyak dua laporan telah dibuat berhubung kes berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir hari ini mengesahkan menerima dua laporan kes kematian melibatkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun, disyaki akibat keracunan makanan yang diambil dari sebuah sekolah agama di Gombak.

Noor Ariffin berkata remaja itu telah menjamah makanan yang dibawa balik ibunya dan pada 1.30 tengah hari semalam mangsa tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

Katanya, mangsa kedua pula memakan makanan yang dibawa oleh bapanya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah terbabit pada Sabtu dan didapati demam, muntah-muntah serta cirit-birit kira-kira 10.45 pagi semalam sebelum meninggal dunia.

Mengulas berhubung kes seorang wanita warga tempatan maut dipercayai dibunuh suami sendiri di Klang pada 7 Jun lepas, Hussein berkata pihaknya kini dalam proses untuk melengkapkan kertas siasatan bagi sebarang pertuduhan.

“Kita telah ambil keterangan suspek dan keluarga mereka. Suspek berumur 31 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori serta mempunyai satu rekod lampau sebelum ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita warga tempatan maut dipercayai dibunuh suami sendiri dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Klang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata mangsa berusia 28 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring di atas katil dengan kesan kelar di leher dan tangan kanan. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan