AM > BERITA

KPKT PERUNTUK HAMPIR RM18 JUTA LAKSANA 10 PROJEK DI PULAU PINANG

11/06/2024 07:46 PM

NIBONG TEBAL, 11 Jun (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan hampir RM18 juta bagi melaksanakan 10 projek pembangunan infrastruktur awam di kawasan Seberang Perai demi kesejahteraan penduduk.

Menterinya Nga Kor Ming berkata peruntukan itu meliputi kategori bina baharu, baik pulih pembangunan, kerja-kerja menaik taraf landskap serta penyaluran peruntukan kepada enam Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).

Beliau berkata antara projek yang menerima peruntukan terbesar ialah pembinaan balai bomba baharu di Permatang Tinggi, Bukit Mertajam bernilai RM13.8 juta di kawasan seluas 2.428 hektar, dengan dimulakan pada 24 Mac tahun depan dan dijangka siap pada Mac 2027.

“Apabila siap, balai bomba ini dapat membantu balai bomba kawasan sekitar seperti Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap, Batu Kawan serta Nibong Tebal seterusnya mencapai tempoh tindak balas kurang 10 minit yang ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan projek gelanggang bola keranjang bersempena siri jelajah Sentuhan Kasih KPKT ke Pulau Pinang di Sungai Udang di sini hari ini.

Nga berkata selain balai bomba, peruntukan berjumlah RM500,000 disalurkan untuk kerja-kerja mengecat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampangan; melebar dan menurap semula jalan serta menaik taraf longkang dan lantai keliling Dewan Kampung Baru Sungai Kechil (RM191,690); membina gelanggang bola keranjang di Bandar Tasek Mutiara (RM300,000); menaik taraf tingkat 1 Pasar Awam Bukit Panchor kepada Dewan Komuniti Seberang Perai Selatan (SPS) (RM1 juta) serta menaik taraf bumbung Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara (RM500,000).

Projek lain yang menerima impak daripada peruntukan itu ialah menaik taraf landskap dan lain-lain kerja berkaitan di Taman Bukit Panchor (RM200,000); naik taraf sistem perparitan di Taman Seruling Emas, Sungai Bakap (RM300,000); menaik taraf tandas awam dan kerja berkaitan di Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara (RM120,000) serta RM1.019 juta kepada enam persatuan RIBI di SPS dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM17.9 juta.

Menurut Nga semua projek itu telah dirancang dengan teliti untuk memastikan setiap wang dibelanjakan memberikan pulangan pelaburan tinggi sekali gus bukan sekadar memberi manfaat kepada komuniti tetapi juga berdaya maju dari segi ekonomi.

Terdahulu, siri lawatan Sentuhan Kasih KPKT hari ini bermula dengan tinjauan ke projek menaik taraf bumbung, tandas awam dan kerja-kerja yang berkaitan di Pasar Awam Tasek Mutiara, diikuti projek menaik taraf tingkat 1 Pasar Awam Bukit Panchor kepada Dewan Komuniti SPS.

Nga turut melawat projek menaik taraf bumbung di Flat Kos Rendah Taman Bukit Panchor yang terdiri daripada 186 unit sebelum lawatan serta perasmian projek gelanggang bola keranjang Sungai Udang.

Pulau Pinang merupakan lokasi ketiga siri jelajah berkenaan selepas Melaka dan Perlis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan