AM > BERITA

KPDN TELITI PERMOHONAN TAMBAHAN KENDERAAN LAYAK SUBSIDI DIESEL DI BAWAH SKDS

12/06/2024 09:29 AM

PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti asas permohonan dan rayuan beberapa pihak berhubung penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata susulan daripada pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, ada pihak telah mengemukakan permohonan terus kepada KPDN bagi mempertimbangkan beberapa tambahan jenis kenderaan pengangkutan barangan dalam senarai layak menikmati subsidi diesel di bawah SKDS 2.0.

“Syor lain yang dikemukakan ialah meningkatkan kuota asas sedia ada di bawah SKDS 1.0 bagi jenis kenderaan pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres.

“KPDN sedang meneliti semua ini dan ia akan diangkat segera untuk pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel yang dianggotai oleh KPDN, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Rayuan (di bawah Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel) seterusnya akan mengemukakan syor bagi semua rayuan berkenaan untuk pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri.

Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

SKDS merupakan platform khusus untuk kenderaan awam terpilih dan pengangkutan barangan untuk terus menerima subsidi diesel menerusi fleet card.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan