AM > BERITA

BUDI MADANI: PEKEBUN KECIL LUAR BANDAR MAHU PENERANGAN LEBIH MUDAH

13/06/2024 11:58 AM

Oleh Muhammad Faizal Nazmi Mohd Haran

KUALA TERENGGANU, 13 Jun (Bernama) -- Beberapa pekebun kecil sawit luar bandar di negeri Terengganu yang ditemui berharap kerajaan dapat memberikan penerangan yang lebih jelas, mudah dan tepat mengenai BUDI MADANI bagi membolehkan mereka faham dengan mendalam mengenai inisiatif itu.

Mazlan Abas, 60, dari Kampung Pengkalan Ajal, Kuala Berang berkata setakat yang diketahuinya, masih ramai pekebun kecil di kampungnya itu tidak memohon inisiatif berkenaan bagi kategori BUDI Agri-Komoditi.

Beliau berkata proses permohonan secara dalam talian juga membantutkan hasrat ramai penduduk di kampung itu untuk membuat permohonan kerana menurutnya kebanyakan mereka kurang mahir menggunakan komputer.

“Setahu saya ramai yang belum mohon. Kami tidak faham, jadi macam mana nak mohon. Kena mohon pula secara dalam talian. Diharapkan akan ada penerangan yang lebih mudah untuk kami faham dan akan ada yang bantu mudahkan permohonan,” katanya kepada Bernama.

Pendaftaran BUDI MADANI boleh dibuat di laman sesawang https://budimadani.gov.my bermula 28 Mei lepas dan tiada tarikh tutup ditetapkan untuk permohonan bantuan itu.

Sementara itu penerima inisiatif BUDI Individu, Amir Ahmad Pohat, 32, berharap objektif kerajaan dalam melaksanakan penyasaran diesel ini mampu dicapai, sekali gus dapat mengembalikan manfaatnya kepada rakyat. 

“Difahamkan dengan langkah diambil kerajaan ini mampu menjimatkan RM4 bilion setahun. Jadi, nanti kerajaan boleh beri pengurangan dalam sektor lain misalnya kemudahan pengangkutan awam yang lebih baik. Ia (manfaat) kena kembali kepada rakyat.

“Sekarang masih terlalu awal, mungkin lima ke enam bulan nanti baru nampak kesan positif pelaksanaan ini,” kata beliau yang bekerja sebagai guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA).

Pada masa sama, beliau yang menggunakan kenderaan diesel jenis Toyota Hilux berharap agar amaun bantuan RM200 itu tidak bersifat statik, sebaliknya fleksibel bergantung kepada jumlah pendapatan individu.

Beliau berkata ada rakan-rakannya yang hanya berpendapatan kira-kira RM3,000 sebulan, namun mereka menerima bantuan yang sama dengan yang berpendapatan lebih daripada itu.

“Keadaan mungkin lagi menekan bila individu tertentu hanya mempunyai kenderaan diesel sahaja. Jadi, harapnya penyasaran kerajaan kepada penerima itu lebih bergantung kepada aspek pendapatan penerima,” katanya.

Kerajaan memperkenalkan BUDI MADANI dengan peruntukan subsidi RM200 tunai bulanan diberikan kepada golongan yang layak seperti petani dan pekebun kecil serta pemilik kenderaan diesel persendirian.

Inisiatif itu adalah usaha kerajaan untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak, meliputi bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi) serta syarikat dan kenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).

Bermula 10 Jun lepas, harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 per liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan