AM > BERITA

PELAN TINDAKAN KETERJAMINAN MAKANAN UPM TUMPU LAHIR AGROPRENEUR, PERKASA TEKNOLOGI

13/06/2024 03:29 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Pelan Tindakan Keterjaminan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang baharu dilancarkan menggariskan tiga matlamat utama termasuk melahirkan bakat masa hadapan dan usahawan tani serta memperkasa teknologi dalam bidang pertanian.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata ia juga meletakkan matlamat untuk memastikan penglibatan komuniti dan industri bagi mengurangkan jurang antara dasar dan pelaksanaan dalam usaha menjamin sekuriti makanan negara.

“Alhamdulillah kita sudah mula bergerak dan kita juga sekarang membuka kepada rakan-rakan institusi pengajian tinggi lain termasuk Politeknik dan Kolej Komuniti yang boleh menyambungkan agenda besar ini kepada penyelidikan, pengajaran dan sampai kepada komuniti di peringkat bawahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program bual bicara ‘Apa Khabar Malaysia’ terbitan Bernama TV,  hari ini.

Pelan Tindakan itu dilancarkan Jumaat lepas oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan berkata isu keterjaminan makanan melibatkan isu ketersediaan makanan; kebolehcapaian terhadap makanan; kebergunaan makanan dan kestabilan makanan.

“Keempat-empat ini perlukan  banyak ilmu dan pengetahuan sebab melibatkan banyak perkara antaranya eksport, import, iklim, cuaca dan sebagainya.

“Jadi kita mengharapkan di bawah blueprint ini kita akan dapat menggerakkan semua warga termasuk pelajar, kakitangan serta para penyelidik supaya memilih usaha paling diperlukan untuk menutup kelompongan yang ada dalam ekosistem keterjaminan makanan negara,” katanya.

Beliau juga berharap pelan tindakan itu dapat berfungsi sebagai serampang dua mata.

“Kita memang ada jaringan dengan rakan seluruh dunia, sama ada kita belajar daripada mereka contohnya Jepun atau negara yang sudah mempunyai sistem keterjaminan makanan yang bagus…Dalam masa sama kita juga punyai jaringan yang kita boleh mengajar mereka.

“Saya yakin untuk UPM, kita akan meletakan satu platform amat baik supaya UPM dapat melonjakkan reputasinya sebagai universitI berteraskan pertanian dan keterjaminan makanan sekali gus boleh memberi impak kepada negara serta dunia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan