JOHOR BAHRU, 22 Mei (Bernama) -- Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) hari ini menyumbangkan 1,000 bakul makanan menerusi Program Sumbangan Kasih Aidiladha YSIJ 2026 kepada golongan memerlukan di daerah ini.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sumbangan itu disampaikan oleh Pemegang Amanah Urusan YSIJ Datuk Avinderjit Singh kepada Penghulu Kanan Pejabat Daerah Johor Bahru Mohamad Ali Abdul Wahab selaku wakil rasmi Pegawai Daerah serta Ketua Kampung Pasir Gudang Baru Daud Saad, sebelum diagihkan kepada penerima.
Majlis yang berlangsung di Dewan Terbuka Kampung Pasir Gudang Baru itu melibatkan pengagihan 300 bakul makanan kepada komuniti kawasan berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian.
Dalam pada itu, 700 bakul makanan lagi disumbangkan kepada Orang Pekak Islam Johor Bahru dan komuniti Stulang di Dewan Serbaguna Majidee, Kampung Dato Sulaiman Menteri.
Majlis serahan sumbangan disampaikan oleh Mohd Anizam kepada Pegawai Daerah Johor Bahru Masni Wakiman bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang Andrew Chen Kah Eng.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, YSIJ memaklumkan telah mengagihkan 1,000 bakul makanan kepada komuniti Bukit Permai, Kulai semalam, bersempena dengan Aidiladha yang bakal menjelang.
Majlis serahan disempurnakan oleh Avinderjit dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor merangkap ADUN Bukit Permai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial