AM > BERITA

SWCORP SASAR KURANGKAN KEBERGANTUNGAN TENAGA KERJA ASING DALAM TEMPOH LIMA TAHUN

13/06/2024 08:51 PM

SEREMBAN, 13 Jun (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menyasarkan hanya 25 peratus kebergantungan tenaga kerja asing bagi sektor berkenaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman berkata ketika ini terdapat 27,345 pekerja pembersihan di negeri yang mengguna pakai Akta 672 dan daripada jumlah itu 32.58 peratus ialah pekerja asing.

“Angka itu agak tinggi berbanding pekerja warga tempatan, sebab itu kita ada program tingkatkan minat pekerja tempatan dalam bidang 3D (difficult, dangerous, dirty) terutama dalam pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

“Kita juga menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk mengadakan program pensijilan tahap tiga dalam bidang berkenaan, lebih 400 individu menerima pensijilan itu baru-baru ini, bila ada sijil tahap gaji boleh ditingkatkan. Kita juga akan tingkatkan program ini kepada kolej komuniti,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2024 yang turut dihadiri Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut mengadakan program dengan kerjasama syarikat konsesi dan agensi lain termasuk Jabatan Penjara Malaysia bagi Program di Sebalik Tirai Besi iaitu warga penjara terpilih diberi latihan untuk diserapkan dalam sektor pembersihan sekali gus meningkatkan jumlah pekerja tempatan.

Lantaran itu, Ahmad Husaini berkata minda masyarakat juga perlu berubah dengan lebih menghargai dan mengiktiraf sumbangan serta perit jerih petugas sektor pembersihan di negara ini sekali gus memberikan motivasi kepada mereka untuk terus kekal berkhidmat.

Beliau berkata tanggungjawab menjaga kebersihan bukan hanya terletak pada syarikat konsesi mahupun badan kerajaan tetapi komuniti turut memainkan peranan penting dalam memastikan kebersihan setempat dipelihara.

Masyarakat hendaklah lebih bijak menguruskan sisa dan ia perlu bermula dari rumah yang melibatkan pengasingan sisa pepejal serta mengamalkan perkara paling asas iaitu buang sampah ke dalam tong sampah.

Terdahulu, pada majlis berkenaan seramai 32 pekerja pembersihan di seluruh negeri ini termasuk tiga kakitangan SWM Environment menerima Anugerah Pekerja Cemerlang atas sumbangan dan prestasi kerja yang terbaik.

Ahmad Husaini berkata pengiktirafan itu sebagai menyokong kerja keras petugas kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam selain meningkatkan semangat serta motivasi untuk terus memberikan perkhidmatan cemerlang.

Sementara itu, Rohani Hamzah, 58, yang telah berkhidmat selama 23 tahun di SWM Environment cawangan Kuala Pilah melahirkan kesyukuran atas penganugerahan yang julung kali diterima itu selain menyifatkan ia sebagai pemangkin semangat untuk terus menjalankan tugas dengan baik.

“Dengan pekerjaan ini juga saya mampu besarkan anak-anak sehingga ke menara gading. Saya harap rakan seperjuangan lain turut bersama-sama memberikan komitmen yang tinggi terhadap tugas ini,” kata ibu kepada lima cahaya mata itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan