Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bekas Penolong Pengarang Berita Harakah Terima Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA

26/08/2025 02:52 PM

RAWANG, 26 Ogos (Bernama) -- Bekas Penolong Pengarang Berita Harakah Muhammad Azamin Muhammad Amin yang menghidap kencing manis hari ini menerima sumbangan disalurkan menerusi Tabung Kasih@HAWANA.

Sumbangan disampaikan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching di kediaman Muhammad Azamin, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Muhammad Azamin, 50, menerima sumbangan Tabung Kasih @HAWANA berbentuk wang tunai dan komputer riba, selain tiga cermin mata baharu untuk beliau, isteri dan anaknya yang ditaja oleh Pang. 

Bekas petugas media Selangor itu menghidap kencing manis yang memerlukan rawatan insulin secara berterusan bagi mengawal tahap kesihatannya.

Muhammad Azamin pernah menabur bakti hampir dua dekad dalam dunia kewartawanan termasuk di akhbar Harakah selama 12 tahun bermula 2005, selain bertugas di akhbar Warta dan SelangorKini.

Selain menyampaikan bantuan, Teo turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada Muhammad Azamin sebagai sokongan terhadap Kempen “Satu Rumah Satu Jalur Gemilang” sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Ad Banner

Tabung Kasih@HAWANA yang digerakkan Kementerian Komunikasi melalui Bernama dilancarkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, menjadi simbol keprihatinan kerajaan terhadap pengamal media yang pernah berbakti kepada negara.

Setakat ini, sebanyak 487 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan