AM > BERITA

60 PERATUS ATM TAMAT LATIHAN PERALIHAN PERHEBAT BERJAYA DAPAT KERJA

13/06/2024 04:47 PM

KOTA BHARU, 13 Jun (Bernama) -- Sebanyak 60 peratus daripada 6,851 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tamat latihan peralihan tahun lepas berjaya beralih ke alam pekerjaan yang baharu, kata Pendaftar Sektor Pengurusan Latihan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) Mohd Zamri Mohd Salim.

Beliau berkata daripada jumlah itu 17 peratus bekerja dengan majikan, 23 peratus pula menjadi usahawan tunas atau bekerja sendiri, 20 peratus menjadi usahawan, manakala 40 peratus lagi masih mencari pekerjaan.

“Bagi tahun ini sehingga Mei lepas 3,256 anggota ATM yang akan bersara telah berjaya menamatkan latihan peralihan di seluruh negara. Kita akan pantau dalam tempoh setahun sehingga lima tahun bagi memastikan veteran tentera yang mengikuti latihan peralihan Perhebat mempunyai kehidupan baik selepas bersara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penyampaian Sijil Perhebat kepada 201 pelatih di sini, hari ini yang dirasmikan Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Muzamil Ali.

Mohd Zamri berkata selaras dengan transformasi semasa, anggota ATM yang akan bersara kini mempunyai pilihan mengikuti latihan di 17 pusat latihan yang disediakan PERHEBAT di seluruh negara.

Beliau berkata jumlah anggota ATM yang mengikuti latihan peralihan Perhebat melonjak sehingga 93.1 peratus atau 5,478 orang sehingga Mei lepas berbanding lima kategori latihan lain.

Mengulas lanjut beliau berkata dalam usaha memberi nilai tambah kepada kebolehpasaran sektor pekerjaan, Perhebat melaksanakan program Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) yang menyediakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).

Mohd Zamri berkata sejak dilaksanakan pada 2017 hingga 2023, sejumlah 4,796 anggota ATM berjaya ditauliahkan bagi tiga peringkat pensijilan, malah sehingga Mei tahun ini 278 orang dianugerahkan DKM.

Beliau berkata Perhebat turut mengambil inisatif menjalin kerjasama dengan pelbagai kementerian, agensi, institusi pengajian tinggi dan perbankan bagi menyediakan latihan dan insentif perniagaan kepada anggota ATM.

"Setiap tahun kira-kira 5,000 hingga 6,300 ATM menamatkan perkhidmatan dengan 75 peratus daripadanya berumur 33 hingga 42 tahun," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan