AM > BERITA

KPKT TUBUH PASUKAN ‘DUTA ONLINE' BANTU SEBAR MAKLUMAT SAHIH, POLISI KERAJAAN

13/06/2024 07:45 PM

PUTRAJAYA, 13 Jun ( Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini menubuhkan pasukan “Duta Online” untuk menangkis fitnah serta menyampaikan maklumat sahih dan polisi kerajaan secara efektif.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata pasukan itu akan menyebarkan maklumat yang sahih dan mempertahankan rakyat daripada fitnah menggunakan bahasa dan pendekatan lebih mudah difahami rakyat. 

Beliau berkata seramai 200 kakitangan KPKT telah dipilih sebagai Duta Online berkenaan.

“Sentuhan maya ini diwujudkan untuk membantu kerajaan dalam menyebarkan maklumat yang sahih dan polisi kerajaan dengan lebih efektif,” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri Bengkel Sentuhan Maya KPKT di sini hari ini.

Nga turut menggalakkan ahli-ahli pasukan Duta Online untuk menggunakan kreativiti dalam menghasilkan kandungan yang menarik dan tidak membosankan.

“Dalam era digital ini, media sosial memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat. Video pendek, siaran langsung dan pelbagai platform boleh digunakan sebagai medan menyelaraskan maklumat  kerajaan supaya rakyat berdiri teguh bersama mendukung aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau percaya bahawa dengan kreativiti, maklumat yang benar dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan menarik perhatian masyarakat.

Sebagai contoh, Nga berkata pencapaian Malaysia yang dipilih sebagai negara ke-10 paling aman di dunia serta ketiga di Asia-Pasifik dalam Indeks Keamanan Dunia baru-baru seharusnya mendapat liputan meluas.

Beliau berkata ini kerana pada tahun lepas, Malaysia berada di tangga ke-19 keseluruhan dalam Indeks Keamanan Dunia.

Menurutnya antara faktor utama kejayaan itu adalah dasar kerajaan MADANI yang inklusif, meraikan kepelbagaian dan sentiasa bersikap prihatin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan