AM > BERITA

KANAK-KANAK PEREMPUAN LEMAS TERJATUH DI JETI SUNGAI DI GELANG PATAH

14/06/2024 09:19 AM

JOHOR BAHRU, 14 Jun (Bernama) -- Seorang kanak-kanak perempuan ditemukan lemas selepas terjatuh di Jeti Sungai kampung Dapur Arang Gelang Patah petang semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP M. Kumarasan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 4.40 petang daripada seorang lelaki berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkat kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berusia 10 tahun bersama adik perempuannya, 6, serta rakan mereka juga kanak-kanak perempuan, 9, bermain di jeti berkenaan.

"Ketika sedang duduk di jeti, mangsa telah tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.

"Pihak bomba dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menemukan mayat mangsa pada jarak lima meter dari jeti di kedalaman tiga meter dari paras sungai," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kumarasan berkata mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Saifulizam Salleh berkata sepasukan sembilan anggota digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan berhubung kejadian pada 5 petang.

"Setelah empat jam operasi digerakkan, mangsa dijumpai pada 9.07 malam tadi.

“Mayat mangsa ditemukan di dasar sungai dengan kedalaman tiga meter. Kedudukan mangsa dijumpai lima meter dari tempat kali terakhir dia dilihat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan