AM > BERITA

DRAF AWAL PELAN TINDAKAN INDUSTRI PENJAGAAN DITELITI SEBELUM DIBAWA KE JEMAAH MENTERI

14/06/2024 04:49 PM

PUTRAJAYA, 14 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memperhalusi draf awal Pelan Tindakan Industri Penjagaan di Malaysia sebelum dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk persetujuan sebelum dilaksanakan semua pihak berkaitan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata draf yang dihasilkan daripada penganjuran Makmal Pembangunan Pelan Tindakan Industri Penjagaan di Malaysia itu menggariskan enam isu utama yang diketengahkan peserta antaranya daripada agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata isu berkenaan merangkumi keperluan mewujudkan ekosistem industri penjagaan, penawaran dan permintaan penjaga profesional, jurang kepakaran dalam industri, kesan ekonomi dengan kewujudan penjaga profesional, perundangan dan polisi sedia ada serta insentif kepada pemain industri.

“Di peringkat KPWKM, kami akan memperhalusi secara terperinci semua isu yang diketengahkan ini demi memastikan semua pihak mendapat manfaat dan kelestarian industri penjagaan di negara kita terpelihara. 

“KPWKM akan menyusun atur tatakelola dengan pihak berkepentingan bagi memastikan isu-isu dibangkitkan ini dapat diselesaikan secara efektif,” katanya dalam ucapan perasmian penutup Makmal Pembangunan Pelan Tindakan Industri Penjagaan di Malaysia di sini hari ini.

Makmal Pembangunan Pelan Tindakan Industri Penjagaan di Malaysia telah bermula pada 13 Mei lepas dan berakhir hari ini.

Berdasarkan kepada dapatan daripada makmal yang dilaksanakan selama sebulan itu, Noraini berkata KPWKM menganggarkan keperluan penjaga yang berkemahiran di negara ini menjelang 2030 adalah seramai 22,000 orang.

Justeru katanya, sudah tiba masanya semua pihak terutama pemain industri untuk bekerjasama dengan KPWKM bagi memberikan latihan yang berkualiti kepada penjaga mengikut kurikulum yang telah ditetapkan.

“Susulan daripada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Ekonomi Penjagaan, KPWKM komited untuk mengiktiraf mereka yang melaksanakan aktiviti penjagaan warga emas, kanak-kanak dan OKU (orang kurang upaya) sebagai satu profesion yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Pada Julai lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah mengumumkan inisiatif Ekonomi Penjagaan (Care-Economy) dan pusat jagaan kanak-kanak mampu milik yang dilihat berupaya meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam alam pekerjaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan