AM > BERITA

KESEDARAN DERMA DARAH DALAM KALANGAN BELIA DI MELAKA MENINGKAT

14/06/2024 04:53 PM

MELAKA, 14 Jun (Bernama) -- Kesedaran menderma darah dalam kalangan belia berusia 40 tahun ke bawah semakin meningkat, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka Dr Ruzita Mustaffa.

Beliau berkata pada tahun lepas seramai 15,378 belia menderma darah manakala hingga Mei tahun ini pula sebanyak 7,714 orang.  

"Pihak kita akan melaksanakan lebih banyak program derma darah ini di institusi pengajian tinggi (IPT) awam mahu pun swasta di samping memberi kesedaran mengenai kepentingan meningkatkan bekalan darah untuk menampung keperluan pesakit seperti talasemia, pembedahan dan lain-lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat negeri 2024 bertemakan "20 Years of Celeberting Giving: Thank You, Blood Donors!" dan turut menyampaikan anugerah penderma darah pelbagai kategori termasuk anugerah khas kepada belia.

Dr Ruzita berkata anugerah khas baharu untuk beliau itu diperkenalkan bertujuan mengiktiraf golongan muda yang menderma darah secara konsisten.

Hospital Melaka turut membuka satu pusat derma darah baharu di Jabatan Perubatan Transfusinya yang mula beroperasi sejak November lepas selepas dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan selain diiktiraf bagi membekalkan plasma untuk program fraksinasi kebangsaan.

"Pusat itu memberi pengalaman menderma darah yang lebih baik dengan lokasi mudah diakses, persekitaran kondusif serta kemudahan lain termasuk parkir khas penderma dan tandas orang kelainan upaya (OKU)," katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Penderma Darah Kategori Belia Muhammad Haziq Mohd Nor Hishamudin, 24, berkata sejak mula menderma pada 2018 di usia 18 tahun, dia akan memastikan untuk menyumbang bekalan darah setiap tiga bulan sekali.

Berasal dari Alor Gajah, Muhammad Haziq menderma sebanyak 23 kali dalam tempoh enam tahun dan berharap lebih ramai golongan muda tampil membantu sekali gus mampu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.

"Ketika mula-mula menderma saya dipelawa seorang kawan berbangsa Cina, apa yang membuatkan saya terharu ketika itu ialah melihat pelbagai kaum termasuk masyarakat Melayu dan India turut sama menyumbang.

"Kita dapat lihat tanpa mengira beza warna kulit, menderma darah ini amalan mulia selain tidak memerlukan wang ringgit untuk menyumbang serta berbakti kepada masyarakat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan