AM > BERITA

KKR SABAH DALAM PROSES STABIL TEKANAN AIR - SHAHELMEY

14/06/2024 07:41 PM

KOTA KINABALU, 14 Jun (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya Sabah dalam proses menstabilkan tekanan air bagi memastikan keperluan asas itu diperoleh di seluruh kawasan di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata Jabatan Air Negeri Sabah di bawah kementerian itu juga telah melaksanakan program meningkatkan tahap bekalan air bersih terutama untuk penduduk di kawasan Pantai Timur Sabah.

"Di Tawau kita sedang membina empangan (air), pembinaan loji rawatan air (LRA) di Lahad Datu dan memulihkan bekalan air di Sandakan.

"Bekalan air ini bukan bererti cakap hari ini, esok semuanya tersedia, ia memerlukan masa yang munasabah untuk dilaksanakan," katanya kepada pemberita di hadapan Menara Kinabalu di sini hari ini.

Shahelmey berkata beliau hadir di situ bagi mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menerima memorandum daripada kumpulan perhimpunan #KamiMahuAir, namun kumpulan terbabit mahukan Hajiji menerima sendiri memorandum berkenaan.

Beliau berkata walaupun segala usaha sedang dilakukan kerajaan negeri untuk menambah baik sistem bekalan air di negeri ini, kumpulan itu masih mahu berdemonstrasi dan tidak mahu menyerahkan memorandum berkenaan kepadanya selaku menteri bertanggungjawab isu itu, justeru beliau melihat ia lebih bermotifkan politik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata pihaknya tidak mengeluarkan sebarang permit untuk perhimpunan itu, namun ia berjalan secara aman.

Beliau berkata polis akan membuka kertas siasatan terhadap perhimpunan itu dan akan menjalankan pemantauan dengan bilangan peserta dianggarkan kira-kira 80 orang.

"Kita boleh keluarkan kompaun (kepada penganjur), nanti kita jumpa mereka (peserta)," katanya.

Perhimpunan itu disertai beberapa pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), badan bukan kerajaan dan komuniti penduduk serta turut dipantau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan sekumpulan peguam.

Terdahulu peserta berarak berjalan kaki kira-kira 2.5 kilometer dari UMS ke Menara Kinabalu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan