AM > BERITA

'PLASTIK ODYSSEY' ANJURAN KEDUTAAN PERANCIS TINGKAT KESEDARAN PEMBANGUNAN LESTARI, PERLINDUNGAN LAUTAN

14/06/2024 10:27 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Kedutaan Perancis di Malaysia menganjurkan acara ‘Plastic Odyssey’ (Odyssée Plastique) baru-baru ini, yang bermatlamat meningkatkan kesedaran berkaitan pembangunan lestari dan perlindungan lautan dalam kalangan pelajar muda berbahasa Perancis, dengan tumpuan untuk mengurangkan pencemaran plastik.

Kedutaan berkenaan dalam kenyataan hari ini memaklumkan acara itu diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Petronas, Kerteh, Terengganu, pada 5 dan 6 Jun lepas, sebagai sebahagian daripada Festival de la Francophonie.

“Plastic Odyssey adalah inisiatif serantau yang berlangsung antara Mei dan September 2024 di beberapa bandar di seluruh Asia. Acara itu turut membolehkan pelajar meningkatkan penguasaan bahasa Perancis masing-masing, menggalakkan mereka berinteraksi dalam bahasa Perancis serta menyelami budaya berbeza,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu tujuh sekolah kerajaan iaitu Sekolah Menengah Sains (SMS) Setiu, SMK Sultan Omar, SMS Dungun, SMK Sultan Sulaiman, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit, SMS Hulu Terengganu serta SMK Rantau Petronas, Terengganu menyertai acara dua hari itu.

Acara itu meliputi persidangan daripada penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT); tayangan filem; aktiviti pembersihan pantai serta bengkel interaktif dikendalikan oleh pihak UMT, Sea Monkey Project, Veolia, Hara Makers dan Majlis Perbandaran Kemaman.

“Dengan kerjasama Kedutaan Perancis di Filipina, China, Indonesia dan Malaysia, selain Konsulat Perancis di Hong Kong dan Pejabat Perancis di Taiwan, acara berkenaan turut bertujuan menyebar kesedaran dalam kalangan pelajar yang mempelajari bahasa Perancis berkaitan tema kelestarian serta pencegahan terhadap pencemaran plastik,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan