AM > BERITA

USTAZ KAZIM SEDIA BERLAKON WATAK JAHAT

15/06/2024 10:27 AM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Pendakwah bebas yang kini bergelar pelakon, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim, 52, bersedia menerima sebarang tawaran berlakon, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditentukan pihaknya.

Jika mendapat tawaran lain, beliau juga mahu melakonkan watak yang berbeza dan keluar daripada imej sebagai seorang ustaz.

"Lepas ini kalau orang ajak saya berlakon boleh, tapi tidak mahu menjadi ustaz sahaja, saya mahu juga watak lain. Cuma, saya ada prinsip, tidak boleh pegang-pegang (bersentuhan) dan jaga waktu solat.

"Kalau skrip cantik (bertepatan), watak jahat sekalipun saya boleh bawak, saya mahu buktikan saya bukan setakat boleh menjadi ustaz sahaja," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Beliau yang  muncul sebagai watak utama dalam filem berjudul Zim Zim Ala Kazim terbitan Mawi World Entertainment juga bersedia menerima sebarang pandangan atau kecaman netizen yang kurang senang melihat pembabitannya dalam dunia seni.

"Saya terlibat dalam bidang dakwah sudah lebih 34 tahun, pelbagai cabaran saya lalui termasuklah orang yang tidak suka. Begitu juga dalam bidang ini, pasti akan ada yang mengecam. Mungkin lima tahun akan datang baru orang akan nampak alasan saya buat begini," katanya.

Bahkan, Mohd Kazim turut menggalakkan pembabitan golongan agamawan menceburi bidang lakonan agar dapat bersama dengan beliau menjadikan industri filem sebagai wadah terbaik mendidik rakyat.

"Kalau asatizah turut serta, boleh saling menasihati (kru dan pelakon), semua akan seronok berlakon. Kita jadikan industri filem, drama dan sebagainya ini seronok serta selesa untuk ditonton (semua lapisan masyarakat), tanggapan masyarakat juga boleh berubah.

"Ini yang saya cuba buat, kalau masyarakat beri sokongan dan kepercayaan, saya nak ajak kawan-kawan saya di luar sana, jom kita ikut serta," katanya yang turut  mencadangkan dibuat surau bergerak bagi memudahkan pelakon atau kru menunaikan solat di lokasi penggambaran.

Mengulas mengenai pembabitannya dalam filem Zim Zim Ala Kazim, Mohd Kazim berkata, hampir 80 peratus cerita dalam filem berkenaan memaparkan kisah benar mengenai dirinya yang berdepan dengan penyakit misteri.

“Mungkin ia tidak mencapai kisah sebenar namun masih penuh dengan pengajaran berkaitan amalan sihir dan perbuatan jahat. Kalau nak kira pada cerita original mungkin boleh jadi histeria, cuma kita ringankan tapi kejadian beruk jadian (babak di dalam filem) itu betul... Janji, ia capai matlamat jangan buat jahat," katanya.

Selain Mohd Kazim dan Mawi, filem bergenre seram komedi arahan Mawi dibintangi barisan pelakon hebat seperti Bell Ngasri, Anas Tahir dan Shanthesh Kumar. Filem ini sedang ditayangkan di pawagam di seluruh negara. 

Filem Zim Zim Ala Kazim mengisahkan sekumpulan pencari hantu yang sering melakukan aktiviti paranormal dan dalam satu misi pencarian mereka, kumpulan ini menemukan sesuatu yang pelik. Mereka mendapati bahawa Ustaz Kazim dalam keadaan bahaya dan mengambil keputusan untuk menyelamatkan Ustaz Kazim.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan