AM > BERITA

KERAJAAN SETUJU PERCEPAT NIMP, NETR, HETR DALAM MENCAPAI ASPIRASI SIFAR BERSIH 2050

15/06/2024 11:46 AM

PUTRAJAYA, 15 Jun (Bernama) -- Kerajaan bersetuju mempercepatkan pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR), serta dasar baharu seperti Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUU PIN) dalam mencapai sifar bersih pada tahun 2050.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata keputusan itu, dicapai dalam Mesyuarat Kelima Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN) Bilangan 1 Tahun 2024 semalam, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pendekatan beraspirasi tinggi itu, akan menjadi pemangkin kepada Malaysia untuk menjadi mercu tanda pertumbuhan ekonomi hijau, serta menjana pekerjaan hijau untuk rakyat.

“Mesyuarat turut bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan yang dipengerusikan saya sendiri, untuk memantau pelaksanaan pelan tindakan bagi mencapai sasaran ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Nazmi berkata beliau telah membentangkan tiga kertas dalam MTPIN dengan perkara utama yang dibincangkan termasuk cadangan penetapan tahun sasaran aspirasi pelepasan gas rumah kaca (GHG) sifar bersih negara pada tahun 2050, berdasarkan hasil kajian Pembangunan Hala Tuju dan Pelan Tindakan Nationally Determined Contributions (NDC) dan Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon  (LT-LEDS).

MTPIN turut bersetuju untuk meluluskan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0, iaitu dasar tersebut akan saling melengkapi inisiatif lain antaranya penggubalan RUU PIN, pembangunan Pelan Adaptasi Nasional dan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan.

Bagi meneruskan penyertaan aktif Malaysia di persidangan antarabangsa, Nik Nazmi juga telah membentangkan perancangan pembangunan Pavilion Malaysia di Persidangan ke-29 Pihak-Pihak kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC COP-29) pada November 2024 di Baku Azerbaijan dan COP-30 di Brazil pada 2025.

“Pada mesyuarat ini juga, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti membentangkan tindak balas sektor kewangan dalam perubahan iklim yang diterajui oleh Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3).

“Inisiatif yang dirancang ini merupakan manifestasi kerajaan dalam menangani isu perubahan iklim secara komprehensif dengan mengurangkan pelepasan GHG, memperkukuhkan daya tahan negara terhadap kesan perubahan iklim serta menggalakkan peralihan ke arah pembangunan lebih lestari dan rendah karbon,” kata Nik Nazmi.

Nik Nazmi menerusi mesyuarat sama turut berkongsi hasil kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Thailand Jeneral (Polis) Phatcharavat Wongsuwan dalam lawatan kerja singkatnya ke Bangkok pada 12 Jun.

Menerusi lawatan itu, kerajaan Thailand telah menyatakan sokongan kepada Malaysia bagi Kepengerusian ASEAN 2025 dan bersetuju menjalin kerjasama bagi berkongsi kepakaran dalam mekanisme pasaran karbon.

MTPIN ditubuhkan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 11 Dis 2020 dan merupakan platform tertinggi yang bertanggungjawab bagi menetapkan dasar, hala tuju dan perkara berkaitan perubahan iklim melibatkan Kerajaan Persekutuan dan negeri.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan