PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Malaysia dan Thailand bersetuju untuk meneruskan perbincangan bagi menyelesaikan beberapa isu perdagangan berkaitan produk pertanian dan perikanan, termasuk sekatan eksport serta akses pasaran, dalam usaha memperkukuh kerjasama keselamatan makanan dan sektor agromakanan antara kedua-dua negara.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat dua hala antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand Suriya Jungrungreangkit di Wisma Tani, di sini.
Menurut KPKM, pertemuan dimulakan dengan sesi perbincangan empat mata antara kedua-dua menteri sebelum diteruskan dengan mesyuarat dua hala melibatkan delegasi daripada kedua-dua kementerian.
"Malaysia telah membangkitkan beberapa isu perdagangan melibatkan produk pertanian antaranya sekatan eksport udang Malaysia ke Thailand, pemeriksaan ketat terhadap eksport ikan siakap Malaysia ke Thailand, serta permohonan akses pasaran produk ternakan ke Thailand yang tertunggak sejak 2024.
"Malaysia turut mengambil kesempatan memaklumkan kepada Thailand mengenai justifikasi sekatan sementara Malaysia terhadap import lima jenis udang dari Thailand, berdasarkan penilaian teknikal dan maklumat risiko semasa bagi memastikan tahap biosekuriti serta keselamatan makanan negara sentiasa terpelihara," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, justifikasi sekatan itu akan kekal berkuat kuasa sehingga proses penilaian lanjut selesai dilaksanakan, termasuk kemungkinan menjalankan penilaian di lapangan, perbincangan teknikal berkaitan keperluan import serta pengaturan pensijilan kesihatan.
Dalam mesyurat itu, Malaysia turut meminta Thailand memudahkan fasilitasi perdagangan di bawah ASEAN Rapid Transit System, iaitu laluan kereta api menghubungkan Malaysia, Thailand, Laos dan China, khususnya dalam pengeluaran permit khas oleh Jabatan Pertanian Thailand bagi meningkatkan akses pasaran produk pertanian Malaysia ke China termasuk durian.
Menurut KPKM, Malaysia juga menegaskan kepentingan mengekalkan komunikasi terbuka, telus dan pantas antara pihak berkuasa kompeten kedua-dua negara, dan menekankan kepentingan mengekalkan hubungan baik antara Malaysia dan Thailand sebagai negara jiran dan negara anggota ASEAN, selain bersetuju memperkukuh kerjasama teknikal dan perdagangan dalam sektor pertanian dan agromakanan demi manfaat bersama.
Pada akhir pertemuan, Mohamad turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Thailand untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept, dengan tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Perdagangan produk pertanian dan agromakanan antara Malaysia dan Thailand terus mencatat perkembangan positif dengan nilai mencecah RM20.33 bilion bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, melibatkan eksport utama Malaysia seperti kopi, koko, teh, rempah-ratus dan produk makanan diproses, manakala import utama dari Thailand termasuk daging dan produk berasaskan daging.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial