AM > BERITA

MELAKA CAPAI SASARAN 5.7 JUTA PELANCONG PADA SEPARUH PERTAMA TAHUN INI

15/06/2024 03:25 PM

MELAKA, 15 Jun (Bernama) -- Melaka mencapai sasaran 5.7 juta pengunjung dan pelancong yang mengunjungi negeri itu sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pada separuh pertama tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata sasaran itu berjaya dicapai hasil usaha pelbagai pihak yang menganjurkan berbagai-bagai karnival dan program dalam usaha merancakkan sektor pelancongan di negeri itu.

“Pada hujung minggu ini sahaja, kita menerima kira-kira 100,000 pengunjung dan pelancong sempena tiga karnival yang diadakan serentak di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh ini.

“Ia adalah Pameran Hang Tuah, Pameran Kenderaan Automotif Klasik Keluarga Diraja Johor dan Malaysia Bike Week Melaka (MBWM) 2024,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ab Rauf mengiringi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam yang merasmikan Pameran Hang Tuah dan MBWM.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Pameran Kenderaan Automotif Klasik Diraja Johor mempamerkan 37 aset klasik seperti Mack Truck Scorpion, Morgan 3 Wheeler dan Harley Davidson Glide Tiger.

Pameran Hang Tuah pula menghimpunkan pelbagai dokumen, manuskrip, artifak dan sumber-sumber baharu dalam usaha memperkukuh kewujudan lagenda pahlawan Melaka itu.

Sementara itu, MBWM merupakan kesinambungan daripada penganjuran program serupa yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor pada 2019 yang menyaksikan kehadiran lebih 300,000 pengunjung ketika itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan