AM > BERITA

ANWAR AJAK UMAT ISLAM HAYATI KESEDERHANAAN IBADAH HAJI, TIDAK TERPUKAU DENGAN KEMEWAHAN DUNIA

17/06/2024 11:35 AM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam agar menghayati mesej kesederhanaan yang dipaculkan dalam ibadah haji agar umat Islam sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan tarikan kemewahan dunia yang sementara. 

"Jangan kita terpesong dari tujuan. Dunia harus menjadi jambatan menuju negeri abadi," katanya dalam perutusan Hari Raya Aidiladha yang disambut hari ini.

Anwar berkata peluang mengembara ke Makkah untuk menunaikan haji merupakan antara kurniaan besar Allah SWT kepada hamba-Nya selain mengenang manasik haji sebagai salah satu rukun Islam.

Katanya namun harus diingat, haji mempunyai maqasid kerohanian yang tersendiri, bertujuan mengubah jiwa manusia agar lebih zuhud dan sederhana.

Menurutnya ketika berihram dengan pakaian serba putih yang kosong, jemaah diasuh dengan nilai kebersihan dan kesederhanaan, manakala segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan. 

Anwar berkata begitu juga wuquf di Arafah yang merupakan satu perhimpunan raksasa tanpa mengira status, darjat dan pangkat, yang membugar rasa insaf dan tawaduk di hadapan Allah SWT.

"Inilah tonggak kekuatan haji yang tidak tertandingkan, terpancar menerusi penghayatan dan amalan," katanya.

Dalam pada meraikan kemeriahan Aidiladha, Perdana Menteri turut mengingatkan umat Islam supaya tidak melupakan golongan asnaf dengan berkongsi nikmat Tuhan dan membahagiakan mereka dengan mengerjakan ibadah korban.

Beliau turut mendoakan para jemaah yang kini berada di Makkah supaya beroleh haji yang mabrur dan pulang ke tanah air dengan sejahtera.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan