AM > BERITA

PM ANWAR, PM CHINA LI QIANG RASMI MAJLIS PECAH TANAH STESEN TERMINAL BERSEPADU ECRL

19/06/2024 06:41 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari China Li Qiang tampil hari ini mempamerkan kerjasama dua hala cukup mantap, bagi menyempurnakan majlis perasmian pecah tanah Stesen Terminal Bersepadu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak. 

Majlis pecah tanah itu membuka laluan kepada penyediaan rel ECRL yang melibatkan laluan dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor yang dijangka siap pada Disember 2026. 

Terletak di kawasan seluas 8.73 hektar di pinggir kawasan pembentukan kuarza terpanjang di dunia 'Gombak Selangor Quartz Ridge', stesen Terminal Bersepadu ECRL Gombak ini juga dijangka dihubungkan dengan stesen LRT Gombak sedia ada, bagi memudahkan kesalinghubungan menerusi LRT Laluan Kelana Jaya.

“Jajaran ECRL antara Gombak dan Pelabuhan Klang pula dijangka siap menjelang Disember 2027," menurut kenyataan yang dikeluarkan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Stesen yang dibina untuk kegunaan penumpang itu akan menampilkan platform khusus untuk pengguna, di samping menyediakan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta, kawasan mengambil dan menurunkan penumpang, laluan pejalan kaki berbumbung, kuarters kakitangan dan kawasan berlandskap taman.

Majlis pecah tanah itu adalah sebahagian daripada acara lawatan rasmi Perdana Menteri China ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. 

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Pengerusi MRL Tan Sri Mohd Zuki Ali, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, Pengerusi China Communications Construction Company Ltd (CCCC) Wang Tongzhou, para menteri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan Malaysia dan China.

Sementara itu Loke dalam kenyataan sama dipetik sebagai berkata bahawa ECRL akan mengoptimumkan kesalinghubungan untuk penumpang dan pengangkutan barang antara pantai timur dan pantai barat Semenanjung Malaysia apabila beroperasi nanti.

“Kita menjangka ECRL akan memacu peralihan pergerakan kargo daripada pengangkutan jalan raya kepada perkhidmatan rel, iaitu mod pengangkutan alternatif yang selamat untuk jarak jauh serta mesra alam dan kos efektif. 

“MOT juga sedang meneroka kemungkinan melanjutkan jajaran ECRL untuk memanfaatkan rangkaian rel Thailand, membuka jalan kepada ECRL untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian rel Pan-Asia yang mampu menghubungkan Malaysia dengan China, sekali gus merealisasikan visi Belt and Road Initiative (BRI),” katanya.

ECRL sepanjang 665 km yang bermula dari Kota Bharu dan berakhir di Pelabuhan Klang akan menampilkan 20 stesen, terdiri daripada 10 stesen penumpang sahaja, dan 10 lagi stesen yang menggabungkan pengangkutan barang dan penumpang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan