AM > BERITA

KEPUTUSAN PERMOHONAN KEMASUKAN KE IPTA, ILKA BAGI LEPASAN SPM DIUMUM 28 JUN - KPT

20/06/2024 12:00 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada 28 Jun ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa keputusan bagi pengajian ke universiti awam (UA), politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) peringkat sijil, asasi dan diploma Sesi Akademik 2024/2025 boleh disemak mulai 12 tengah hari pada tarikh berkenaan hingga 5 petang 7 Julai.

“Keputusan boleh disemak secara dalam talian melalui pautan https://jpt.utm.myhttps://jpt.uum.edu.myhttps://jpt.unimas.myhttps://jpt.ums.edu.my dan https://jpt.umt.edu.my, atau melalui aplikasi mudah alih UPUPocket di telefon pintar,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, pengesahan setuju terima tawaran bermula pada 29 Jun hingga 7 Julai ini menerusi laman web IPTA dan ILKA.

Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh IPTA dan ILKA kepada yang berjaya mulai 29 Jun setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan.

Untuk pemohon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil sahaja, permohonan rayuan boleh dikemukakan melalui Unit Pusat Universiti (UPU) bagi kemasukan ke UA dan politeknik di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai 12 tengah hari pada 28 Jun hingga 5 petang 7 Julai.

“Rayuan ke Kolej Komuniti dan ILKA boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline. Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2024/2025 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan IPTA/ILKA tidak dibenarkan.

“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan berkenaan permohonan UPUOnline boleh dimajukan ke Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA secara terus di Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Jabatan Pendidikan Tinggi atau melalui nombor telefon 03-8684 2363 dan e-mel upu@mohe.gov.my.

Layari platform media sosial Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA menerusi Facebook, Instagram dan TikTok untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan