AM > BERITA

JAS SIASAT PENEMUAN 40 BEG JUMBO BAHAN BUANGAN DI KULIM

22/06/2024 05:44 PM

ALOR SETAR, 22 Jun (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan 40 beg jumbo yang disyaki mengandungi bahan buangan terjadual di sebuah kawasan lapang dekat Kulim, hari ini.

Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab dalam kenyataan berkata beg itu dikesan pasukan jabatan itu yang menjalankan rondaan mengesan dan mencegah pencemaran pada pukul 10 pagi tadi.

“Kita dapati beg-beg berkenaan telah diletakkan di kawasan lapang yang turut menjadi kawasan pembuangan sisa pepejal. Bahan buangan itu didapati dibungkus menggunakan nama sebuah syarikat terkemuka dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar buangan.

“Sampel buangan telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengesahkan jenis buangan berkenaan. Sekiranya buangan bukan dikategorikan sebagai bukan buangan terjadual, kes akan diserahkan kepada agensi yang mengawal selia sisa pepejal,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengesan pemilik tanah kawasan itu serta memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah Kulim untuk tindakan selanjutnya.

“Sekiranya buangan didapati buangan terjadual, tindakan akan dijalankan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Tindakan sama juga boleh dikenakan terhadap pemilik tanah sekiranya didapati berlaku pengabaian yang menyebabkan kawasan itu menjadi tapak pelupusan haram buangan terjadual,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan