Oleh Norhayati Mohd Akhir
PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) -- Di celah barisan wira, veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), suara wanita lembut penuh syahdu membelah pagi yang tenang seakan ‘menghidupkan’ kembali bayang darah dan debu medan pertempuran.
Itulah getar deklamasi sajak bertajuk ‘Darah Yang Terpercik di Baju’ yang disampaikan sebagai amanah yang dijunjung penuh cinta oleh Staf Sarjan Siti Nur Aini Jasni, yang telah dua dekad berdiri sebagai perajurit tanah air dalam pasukan ATM.
Terpilih buat kali ketiga mendeklamasi sajak sempena Hari Pahlawan, beliau menganggapnya sebagai rezeki yang tidak ternilai, lebih-lebih lagi apabila melihat barisan veteran yang tetap teguh berdiri meski tubuh sudah tidak segagah dahulu.
“Apabila saya melihat sendiri veteran berbaris dengan penuh semangat walaupun ada yang dimamah usia, hati saya berasa bangga dan terharu.
“Ketabahan mereka itulah yang menyuntik roh dalam setiap bait sajak nukilan Allahyarham Norazimah Abu Bakar yang saya deklamasikan,” katanya ketika ditemui Bernama.
Mula mendeklamasi puisi sejak zaman persekolahan, anak kelahiran Kulim, Kedah berusia 40 tahun itu berkata minat mendalam terhadap seni tersebut dibawa dalam kerjayanya sebagai anggota tentera, hingga meraih pelbagai kejayaan termasuk Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat ATM 2023.
Bagi Siti Nur Aini bukan piala yang menjadi ukuran sebaliknya bagaimana sajak itu mampu menyentuh hati generasi muda untuk terus mengingati ‘darah’ dan ‘air mata’ perwira negara.
“Bait yang paling menyentuh hati dalam sajak ini ialah ‘selimut pejuang yang gugur perlahan dilepaskan’ serta ‘dari liang pusara menyambut syahdu resam terpercik darah di baju masih basah bersemadi di kalbuku’. Ayat ini menikam terus ke dalam jiwa saya,” katanya.
Bukan sekadar mendeklamasikan malah beliau turut menzahirkan perasaan melalui ekspresi wajah dan gerak tubuh yang lahir daripada penghayatan terhadap 21 tahun pengalaman sebagai anggota tentera.
“Ketika mendeklamasikan sajak itu, saya bayangkan pengorbanan serta cabaran yang saya lalui sepanjang perkhidmatan. Dari situ, emosi akan datang dengan sendiri,” katanya.
Berkongsi tentang latihan bersama rakan gandingannya, Detektif Sarjan Ardiansyah Wayang daripada PDRM, Siti Nur Aini berkata mereka sering berbincang dan berlatih untuk mengenal pasti bahagian tertentu dalam sajak yang perlu ditekankan agar impaknya meresap tepat ke dalam hati penonton.
“Kami sentiasa bekerjasama bertukar-tukar idea dan pandangan, sering berlatih serta berbincang bahagian mana (sajak) yang kami perlu tekankan agar sajak ini meninggalkan kesan kepada penonton,” katanya yang bakal menyertai Pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat ATM 2025.
Perbarisan Hari Pahlawan yang dinaungi PDRM hari ini melibatkan 18 pegawai dan 685 anggota lain-lain pangkat daripada PDRM dan ATM yang diketuai oleh Superitendan Mohamad Ridzuan Roslan daripada PDRM.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan bersempena dengan Sambutan Hari Pahlawan 2025.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Hadir sama Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Hari Pahlawan yang disambut sejak 31 Julai 1960 itu merupakan simbol penghargaan serta pengiktirafan negara terhadap jasa, pengorbanan dan keberanian pegawai serta anggota PDRM dan ATM, sama ada yang telah gugur atau masih hidup dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara tercinta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial