AM > BERITA

PTPTN LANCAR KEMPEN PENSTRUKTURAN PINJAMAN TERTUNGGAK BERMULA SERENDAH RM300

22/06/2024 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Buat julung kalinya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkenal kempen penstrukturan pinjaman dengan kadar serendah RM300 sebagai inisiatif menggalakkan peminjam menyelesaikan pembayaran mereka yang tertunggak.

PTPTN dalam kenyataan hari ini memaklumkan kempen selama dua bulan bermula 1 Jun lepas hingga 31 Julai ini adalah terbuka kepada semua peminjam yang mempunyai tunggakan sama ada pinjaman konvensional atau ujrah.

"Peminjam perlu membuat bayaran tunggakan serendah RM300 sahaja untuk penstrukturan semula pinjaman dan diwajibkan membuat potongan gaji atau debit terus sebagai kaedah bayaran balik bagi memastikan peminjam dapat membuat bayaran balik secara konsisten dan teratur.

"Dalam tempoh kempen ini, peminjam juga boleh membuat rundingan bayaran balik yang lain seperti pertukaran ujrah, penggabungan pinjaman dan penjadualan," menurut kenyataan itu.

Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim dalam kenyataan sama memaklumkan kempen penstrukturan pinjaman itu akan dapat membantu mengurangkan dan mencapai tunggakan sifar sekali gus memperbaiki rekod kredit peminjam.

Beliau berkata komitmen peminjam membuat bayaran balik amat dihargai demi kelangsungan dana pinjaman pendidikan untuk generasi akan datang sekali gus memastikan tiada pelajar yang gagal memasuki institusi pendidikan tinggi disebabkan masalah kewangan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000, sembang langsung di portal PTPTN (www.ptptn.gov.my), platform e-Aduan PTPTN (https://eaduan.ptptn.gov.my/), eksekutif Jualan PTPTN (https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn) atau menerusi saluran media sosial rasmi PTPTN.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan