AM > BERITA

KELAYAKAN AKADEMIK CALON PENTING, TELADAN UNTUK RAKYAT - FAHMI

22/06/2024 09:28 PM

NIBONG TEBAL, 22 Jun (Bernama) -- Menidakkan kelayakan akademik dalam politik ibarat tidak menitikberatkan ilmu dan calon pilihan raya perlu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat dalam mengangkat atau memartabatkan ilmu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata kelayakan akademik merupakan aspek penting untuk calon yang bertanding dan menyifatkan kelayakan itu sebagai ‘jambatan’ yang akan menentukan masa depan lebih baik untuk rakyat.

“Menjadi pemimpin (calon pilihan raya) bermaksud kita sering kali dibandingkan atau menjadi contoh dalam komuniti. Maka seharusnya jadilah contoh dan pendidik yang baik kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni pesakit angin ahmar Wan Khairul Afiznaz Wan Ishak, 45, sempena program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI di Taman Tasek Indah, Simpang Ampat, di sini hari ini.

Fahmi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa kelulusan akademik bukanlah kayu pengukur kepada kecemerlangan pemimpin politik.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah membuat kenyataan itu pada sidang media selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di sini pagi tadi. 

Hal itu susulan isu calon PN Abidin Ismail yang didakwa hanya memiliki sijil ISO 14001 Bagi Sistem Pengurusan Alam Sekitar berbanding lawannya calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang merupakan pemegang ijazah doktor falsafah.

“Saya lihat ramai netizen bertanyakan tentang kelayakan ISO (calon PN) ini malah ada yang bertanya tempat kerja beliau, tetapi bagi saya kita nak tahu idea-idea yang ingin diutarakan beliau untuk penduduk Sungai Bakap,” kata Fahmi.

PRK DUN Sungai Bakap yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari dan Abidin diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi meminta Komuniti MADANI supaya mempertimbangkan pelaksanaan program saringan kesihatan di setiap kawasan DUN agar lebih ramai anggota masyarakat dapat mengesan penyakit serius pada peringkat awal.

 Mengambil contoh Pulau Pinang, beliau berkata terdapat sebanyak 120 Komuniti MADANI di negeri itu setakat ini, justeru kewujudannya perlu dimanfaatkan untuk menyebarluaskan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan. 

“Saya minta supaya Komuniti MADANI mempertimbangkan program saringan kesihatan yang ringkas dan mudah, bukan berskala besar tapi mungkin melibatkan pengamal perubatan am (GP), doktor, sukarelawan untuk memberi khidmat nasihat asas dalam komuniti,” katanya.

Komuniti MADANI diwujudkan sebagai badan sukarela pelbagai kaum yang ditadbir urus oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), bertujuan memupuk nilai-nilai murni dan kenegaraan dalam kalangan rakyat.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan