AM > BERITA

MOTAC ANJUR MINGGU BUDAYA DI XINJIANG, KUKUH HUBUNGAN MALAYSIA-CHINA

24/06/2024 05:43 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menganjurkan Minggu Budaya Malaysia 2024 di Urumqi, Xinjiang, China dari 26 hingga 30 Jun ini.

MOTAC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan ia merupakan usaha kerajaan bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China selaras dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara itu.

"Malaysia melalui MOTAC akan mengadakan promosi seni, budaya dan warisan Malaysia yang secara tidak langsung memberi peluang kepada rakyat China terutama di Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang untuk meneroka, memahami dan menghayati kepelbagaian budaya, seni dan warisan Malaysia.

"Bertemakan ‘Malaysia Truly Asia’, Pavilion Malaysia akan mengetengahkan keunikan seni, budaya dan warisan Malaysia melalui pameran, demonstrasi masakan dan kraf tangan, promosi dan jualan produk pelancongan dan sesi Business to Business iaitu 'Matchmaking Conference for Promoting Economic and Trade Cooperation’, serta persembahan kebudayaan sepanjang lima hari penganjuran program," katanya.

Program yang diadakan bersempena dengan Expo China-Eurasia kelapan itu akan diketuai oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan.

MOTAC berharap program berkenaan dapat menjadi suatu platform untuk menguar-uarkan kempen Visit Malaysia 2026 di China selain mempromosikan keunikan seni dan budaya negara ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan