AM > BERITA

PENDUDUK POS TUEL MOHON JALAN DIBAIK PULIH SEGERA

24/06/2024 06:02 PM

GUA MUSANG, 24 Jun (Bernama) -- Hampir 1,000 penduduk Orang Asli memohon supaya satu-satunya jalan perhubungan yang runtuh di Pos Tuel hampir dua tahun lalu dapat dibaik pulih dengan segera. 

Berdasarkan tinjauan, jalan berkenaan digunakan penduduk di beberapa kampung iaitu Haner, Gere, Poh, Gerbok, Ber, Tuel dan Tersok untuk membolehkan mereka keluar dari kawasan penempatan berurusan di luar. 

Penghulu Pos Tuel Halim Sharif berkata masalah jalan runtuh itu dialami penduduk sejak 2022 lalu bermula dengan runtuhan kecil di tebing jalan. 

“Walau bagaimanapun lama-kelamaan runtuhan menjadi semakin besar disebabkan faktor cuaca hujan dan dilalui setiap hari oleh pelbagai jenis kenderaan. 

“Kami telah beberapa kali membuat laporan sebelum bulan puasa lepas, namun sehingga kini masih tidak mendapat jawapan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pos Tuel, hari ini.

Penduduk Andol Busu, 55, berkata sehingga kini masyarakat setempat bergilir-gilir menggunakan hanya satu lorong memandangkan runtuhan telah menjejaskan keseluruhan jalan di laluan bertentangan.

“Keadaan jalan ini amat membahayakan pengguna kerana lokasinya berada di kawasan berbukit, bercerun tinggi, berlubang dan mengalami tanah runtuh sehingga menutup satu lorong sepanjang laluan ke kampung-kampung di sini,” katanya.

Menurut Ramli Angah, 45, keadaan menjadi lebih berisiko terutama pada waktu kemuncak ketika ibu bapa perlu berulang-alik ke Sekolah Kebangsaan Hendrop.

“Kebanyakan kami membonceng motosikal bersama anak-anak, jadi kami saling memberi laluan dan turut menjaga keselamatan diri masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim berkata bahawa peruntukan membina jalan berkenaan telah diluluskan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). 

“Saya memohon agar pembinaan jalan perhubungan desa di kawasan penempatan Orang Asli ini disegerakan sebagaimana pengumuman kerajaan sebelum ini,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan