AM > BERITA

PEGAWAI FARMASI KONTRAK DISERAP JAWATAN TETAP SELEPAS KAEDAH BAHARU LANTIKAN DIKUAT KUASA

24/06/2024 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Pegawai farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) lantikan kontrak (interim) akan dilantik ke jawatan secara tetap, tanpa melalui proses pengambilan semula apabila kaedah baharu pelantikan tetap diperkenalkan.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni bagaimanapun berkata lantikan tetap itu tertakluk kepada prestasi dan perakuan ketua jabatan.

Beliau berkata lantikan kontrak dengan tempoh lantikan tiga tahun ketika ini adalah bersifat interim atau sementara sehingga Jabatan Perkhidmatan Awam selesai membuat kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baru.

“Kaedah baharu lantikan tetap yang bakal diperkenalkan adalah langkah berimpak besar ke arah penyelesaian jangka panjang terhadap isu peningkatan tanggungan pencen perkhidmatan awam di samping memastikan kelangsungan serta kemampanan fiskal negara untuk membiayai perbelanjaan yang berkaitan dengan emolumen dan faedah persaraan penjawat awam.

“…bagi tempoh 2019 hingga April 2024, seramai 2,893 pegawai farmasi lantikan kontrak dilantik ke jawatan tetap,” katanya pada sesi kamar khas pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab soalan dibangkitkan Muhamad Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengenai bilangan terkini pegawai farmasi lantikan kontrak dan tetap, justifikasi pelantikan secara kontrak serta perbezaan elaun dan kenaikan gred petugas kontrak dengan tetap.

Lukanisman berkata KKM melaksanakan urusan pengambilan tetap menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) berdasarkan merit prestasi, syarat lantikan mengikut skim perkhidmatan serta ditawarkan mengikut kekosongan jawatan tetap pegawai farmasi. 

Sementara itu berdasarkan rekod KKM, seramai 5,289 pegawai farmasi dilantik secara kontrak di KKM bagi tempoh 2019 hingga Mei 2024.

Menurutnya, pegawai farmasi lantikan kontrak juga diberikan emolumen yang setara dengan pegawai lantikan tetap serta pemberian kemudahan lain seperti kemudahan cuti, perubatan, kuarters, pinjaman kenderaan dan komputer berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa.

Beliau berkata tidak wujud syarat khas atau sekatan daripada KKM kepada pegawai farmasi untuk menerima kenaikan gred terutamanya calon yang telah mendapat pengesahan jawatan dalam tempoh perkhidmatan dan mempunyai rekod kerja yang cemerlang.

“Urusan kenaikan gred bagi pegawai farmasi dilaksanakan secara laluan kerjaya bermula dari tarikh lantikan ke perkhidmatan tetap serta memenuhi syarat-syarat kenaikan gred,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan