AM > BERITA

MRM MAHU WUJUD EKOSISTEM LESTARI DALAM INDUSTRI REKA BENTUK MENERUSI PENERAPAN ESG

25/06/2024 10:15 PM

LANGKAWI, 25 Jun (Bernama) -- Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) berharap dapat mewujudkan ekosistem lestari dalam industri reka bentuk melalui penerapan prinsip-prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Pengerusinya Junady Nawawi berkata justeru MRM berharap dapat memanfaatkan sepenuhnya penganjuran seminar Asia Design Sharing (ADS) 2024, yang sedang berlangsung selama lima hari sehingga Jumaat ini di sini. 

Menurutnya selain seminar tersebut, sesi mesyuarat ahli majlis ADS juga berlangsung hari ini dengan melaksanakan sesi undian hos bagi penganjuran seminar akan datang.

Menerusi seminar tersebut, para delegasi yang diwakili badan induk reka bentuk negara Asia dapat berkongsi kepakaran serta pandangan tentang penerapan prinsip-prinsip ESG ke dalam tadbir urus dan memastikan masa depan lebih mampan dan sejahtera untuk generasi akan datang.

"Wakil (profesional reka bentuk) dari lima negara iaitu Malaysia, Korea, Filipina, Thailand serta Indonesia telah menyertai ADS yang sedang berlangsung kali ini. Terdapat penyertaan keahlian baharu dari Vietnam dan Singapura, namun mereka tidak dapat menyertai seminar kali ini.

"Melalui platform ADS, para delegasi dapat berkongsi pengetahuan bersama dengan golongan profesional bidang reka bentuk dari lima negara Asia yang menyertai acara seminar tahunan berprestij ini," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata pelbagai topik serta isu berasaskan 'Empowering ESG Through Design' akan dibincangkan secara berkesan, di samping melihat peluang kerjasama yang berpotensi terjalin menerusi platform ADS.

Junady berkata dengan kelebihan Malaysia selaku Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN 2025, MRM berharap siri ADS seterusnya akan diadakan lagi di negara ini, tahun depan.

"Sebagai hos sidang kemuncak tersebut, MRM sangat berharap kerajaan akan dapat mempertimbangkan dan menyokong cadangan sesi ADS 2025 diadakan lagi di sini," katanya.

MRM adalah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang ditubuhkan pada 1993, antara lain bertindak sebagai badan pemikir dan penasihat program untuk melonjak kepakaran, keupayaan dan standard reka bentuk industri dalam negara.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan